PAS Kelantan akan mengadakan program himpunan kesyukuran dan solat hajat di bangunan Pusat Khidmat Salor, yang kini masih lagi dikuasai Parti Amanah Negara (PAN).
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, program kesyukuran itu diadakan pada 16 November ini setelah cukup tempoh sebulan notis pengosongan bangunan itu dihantar.
“Program itu diadakan sebagai menterjemahkan rasa syukur setelah memperoleh semula bangunan itu,” katanya di Kota Bharu.
Hartanah yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor dan PAN di mukim Pendek kini dijual oleh pemiliknya.
Pemilik hartanah itu Haripah Dollah menjual lot tersebut pada harga RM700,000 termasuk bangunan kepada PAS Kelantan.
Urusan pindah milik selesai 18 September lepas dan berikutan itu notis dikeluar pejabat peguam bagi membolehkan mereka yang berada di bangunan di situ mengosong dalam tempoh sebulan.
Notis ditampal di pagar pada 12 Oktober lepas.
Che Abdullah juga berkata, orang ramai hendaklah berwuduk dan membawa sejadah.
“Pengambilalihan itu dibuat proses biasa. Bila kita beli, kita ada perancangan sendiri untuk menghidupkan semula bangunan berkenaan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, tidak semua perkara yang berlaku perlu menunggu keputusan mahkamah. – HARAKAHDAILY 30/10/2017