Oleh : A’isya Yasmin
Di saat masyarakat belajar menerima dan mengkaji apa yang dibawa oleh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di parlimen lalu berkenaan pindaan RUU355, saban hari kita dikejutkan dengan isu guru direman kerana merotan pelajar, menegur salah laku pelajar dan sebagainya.
Perkara ini juga disahkan oleh Pengerusi NGO PENDIDIK, Normala Sudirman, ketika mana beliau menghadiri kes pembicaraan salah seorang guru di salah sebuah Sekolah Rendah Agama sekitar Hulu Langat baru-baru ini.
“Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan, PENDIDIK ingin melahirkan rasa simpati atas ujian yang menimpa beliau yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pada 26 Disember 2017 lalu atas tuduhan merotan pelajar yang enggan menunaikan solat ketika sesi persekolahan.”
Turut dilaporkan, guru terbabit sekali lagi dihadapkan ke mahkamah pada 6 Febuari lepas dengan diwakili oleh peguam khairul Amin Abdullah dan Mohd Zubir Embong.
Difahamkan,tidak ramai yang tahu kes melibatkan golongan pendidik sebelum ini sehinggalah kes Cikgu Azizan Manap yang telah dihadapkan di Mahkamah Seremban tular di media sosial.
NGO PENDIDIK terpanggil tampil minta penjelasan apakah hukuman ditahan lokap selama lima hari dan digari bersama pesalah penagih dadah lain setimpal bagi seorang pendidik yang bertujuan mendidik anak bangsa menjadi insan yang lebih bertamadun.
Jika tidak, mengapa undang-undang hari ini begitu tidak adil sehinggakan sanggup menghumban seorang yang berhati luhur mendidik ke penjara seolah-olah beliau ini telah melakukan jenayah besar.
Kehadiran wakil Pengerusi NGO PENDIDIK ini adalah satu suntikan semangat dan seruan pembelaan ke atas pendidik ini walaupun ia dipandang sepi oleh pihak kerajaan.
Sikap double standard ini memperlihatkan kerajaan tidak serius membela nasib para pendidik khasnya berhubung isu sebegini.
Insiden ini membuktikan kerajaan hanya mengambil kesempatan ke atas para pendidik bila mana perlu dan tidak boleh diharap bagi membela nasib para guru yang menjadi teras utama pembina negara bangsa.