PILIHAN Raya Bandaran Kuala Lumpur yang diadakan pada 16 Februari 1952 adalah pilihan raya yang kedua diadakan di negara ini selepas PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan Undang-undang Tubuh PAS 1951 digubal pada 24 November 1951. Terdahulu, pada 1 Disember 1951, pilihan raya bandaran pertama diadakan di George Town, Pulau Pinang yang menyaksikan Umno hanya memenangi satu kerusi sahaja, sedangkan Parti Radikal mendapat enam, manakala Parti Buruh dan Bebas masing-masing satu kerusi dari sembilan kerusi yang dipertandingkan. PAS walaupun ditubuhkan di Kuala Lumpur, namun ia tidak menyertai Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur ini kerana PAS Cawangan Kuala Lumpur hanya ditubuhkan pada 13 Julai 1952.
Walaupun PAS tidak menyertai pilihan raya ini, tetapi PAS turut terlibat secara tidak langsung, kerana isu-isu pilihan raya yang berkait dengan PAS. Umno yang baru mengalami dua perpecahan ekoran penubuhan PAS oleh para ulamak dalam Bahagian Agama Umno pada 23 Ogos 1951 dan penubuhan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) oleh Dato’ Onn Jaafar yang keluar dari Umno pada 26 Ogos 1951, telah mendapat saingan sengit dari IMP dalam pilihan raya ini. Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pula diketahui umum merupakan sekutu rapat Dato’ Onn Jaafar semasa dalam Umno. Sebarang sikap PAS dalam pilihan raya ini akan memberi kesan terhadap pengaruh Umno terutama di kalangan pengundi Melayu.
Dato’ Onn Jaafar pada awalnya berusaha menyertai pilihan raya ini melalui kerjasama dengan sekutunya dalam IMP iaitu MCA yang dipimpin oleh Tan Cheng Lock, tetapi Umno Kuala Lumpur terlebih dahulu berjaya mewujudkan kerjasama Umno-MCA dalam menghadapi pilihan raya ini. Kerjasama dua parti perkauman – Umno dan MCA – ini kemudiannya telah mendapat kritikan hebat daripada daripada pemimpin politik seperti K.L Devaser (Presiden MIC), R.K Pannikar (pemimpin IMP Kuala Lumpur) dan Hashim A. Ghani (Yang Dipertua Parti Melayu Semenanjung – PMS). Isu-isu yang berbangkit adalah bersifat perkauman, perpaduan palsu dan pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu. Pemimpin MCA, Khoo Track Yee sendiri mendakwa kerjasama Umno-MCA di Kuala Lumpur ini adalah “untuk (MCA mengambil) faedah sahaja.”
Di sebalik “serangan perkauman” yang dibangkitkan oleh parti-parti politik ke atas Perikatan Umno-MCA, yang paling dibimbangi oleh Umno ialah serangan oleh PAS dari sudut agama kerana sebelum ini Bahagian Agama Umno menentang keras rancangan Dato’ Onn Jaafar untuk membuka Umno kepada orang bukan Melayu. Para ulamak dibimbangi mengeluarkan fatwa yang merugikan Umno dalam soal ini. Sejak awal 1952, Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra telah menyerang PAS dalam kempen pilihan raya tersebut sebagai langkah untuk mengalihkan perhatian PAS yang lebih rapat dengan Dato Onn Jaafar. Pada 30 Disember 1951, pemimpin Umno itu mendakwa partinya juga adalah parti Islam, yang tidak pernah bertentangan pendirian dengan para ulamak dan akan tetap berpegang dengan Islam, sebagai alasan mengapa orang Melayu tidak perlu menyokong PAS atau IMP.
Pada 5 Januari 1952, Tunku Abdul Rahman Putra mempersoalkan pula keperluan wujudnya PAS dan menganggap PAS tidak dapat berbuat apa-apa untuk Islam. Serangan Umno ini telah menimbulkan kemarahan para ulamak di Pulau Pinang yang kebanyakkannya adalah ahli Umno. Pengarang Urusan Melayu pada 13 Januari 1952 turut mengulas kesan penubuhan PAS terhadap kemerosotan pengaruh Umno. PAS juga sejak awal Februari 1952 dituduh cuba merampas kuasa agama daripada Raja-raja Melayu. Sejak 31 Januari 1952 pula, Tunku Abdul Rahman Putra turut bertindak menghapuskan anasir PAS dalam Umno melalui disiplin parti dan melantik Dato’ Haji Hassan Yunus menggantikan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Ketua Bahagian Agama Umno.
Kempen Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur yang berakhir pada 15 Februari 1952 menyaksikan pertembungan di antara Perikatan Umno-MCA dengan IMP tanpa penglibatan PAS. Perikatan Umno-MCA menguasai sembilan kerusi, sedangkan IMP mendapat dua dan Bebas satu kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. PAS yang tidak terlibat langsung dalam pilihan raya ini pula menerima tekanan paling berat daripada Umno kerana kebimbangan Umno terhadap kemungkinan serangan PAS ke atas mereka untuk membantu IMP. Ternyata sepanjang kempen pilihan raya ini, PAS terpaksa lebih banyak menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Umno daripada membantu IMP. Sedangkan Perikatan Umno-MCA dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur ini menjadi asas kepada penubuhan Parti Perikatan pada 30 Oktober 1957 setelah MIC menyertai mereka pada 1954.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Januari 2017
{jathumbnail off}