KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
17 Oktober 2017 | 26 Muharam 1439
“DAP SEMAKIN KETERLALUAN MENGHINA ISLAM”
1. DAP menyerlahkan sikap kurang ajar, angkuh, biadab dan celupar apabila terus menyindir serta memperlekehkan Islam dengan ungkapan yang mengejek dan menghina. Malah sangat keterlaluan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengungkapkan bantahan ke atas pesta arak dengan label ‘pelampau’ Taliban.
2. Bahkan, Ketua Menteri Pulau Pinang itu sewajarnya memilih untuk berdiam diri sahaja berhubung penganjuran Oktoberfest di negeri itu. Tetapi Guan Eng melontarkan ulasan sinikal yang bukan sahaja menzahirkan kesombongannya, tetapi bagaikan mencabar Islam dengan bidasan dan perkataan digunakan.
3. Besar kepala yang ditunjukkan DAP itu semakin ketara apabila seorang lagi pemimpinnya, Hew Kuan Yau memaki Islam dengan carutan “Sohai”. Keberanian DAP berperangai jelek demikian membuktikan parti itu langsung tidak mengenal hormat dan sensitiviti serta sempadan yang tidak sewajarnya disentuh.
4. Sikap anti Islam tersebut bukan baharu walaupun sering dinafi atau dilakonkan watak mesra Islam, kerana sebaliknya pemimpin DAP spontan telah campur tangan dalam banyak hal berkaitan. Kami percaya, dari semua yang pernah dizahirkan parti itu, mereka akan terus mempermain dan merendah-rendahkan Islam.
5. Kedekatan yang cuba ditunjuk DAP kononnya bersama Islam, hanyalah bermotif dan beragenda serta memperkakas dan memperalas untuk tujuan politik semata-mata. Walhal, DAP berterusan menginjak maruah Islam, ajaran dan umatnya bukan lagi secara tertutup atau berselindung disebalik pihak tertentu, malah juga terang-terangan.
6. Provokatif dan penghinaan seperti ini sangat merbahaya kepada keharmonian negara yang berpotensi menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan pelbagai rasa kurang senang. Sehubungan itu kami menggesa siasatan dijalankan ke atas kedua-dua individu ini, seterusnya DAP perlu mengemukakan permohonan maaf rasmi.
7. Kami juga berharap pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat meneliti semula kedudukan DAP memandangkan parti itu mengesampingkan beberapa teras utama dari Perlembagaan Negara. Malah, terbukti DAP telah banyak kali menyuarakan hasrat dan cita-citanya atas Malaysia yang bersifat menyangkal asas Perlembagaan.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia