Misi kali ini disertai ramai pimpinan PAS Pusat, diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
Setiba di Cox’s Bazaar pada jam 11.05 waktu tempatan, kami terus ke penginapan di bandar pusat pelancongan itu. Cox’s Bazaar adalah wilayah pelancongan Bangladesh, memiliki pantai terpanjang di dunia. Bandar ini mengambil nama Kapten Hiram Cox, pegawai tentera British yang ditugaskan di sini pada abad ke 18, bagi menyelesaikan pertikaian antara penduduk Islam dan Buddha di sini.
Sebaik selesai makan tengahari dan taklimat ringkas, deligasi PASRelief di pecahkan kepada tiga kumpulan, dengan destinasi dan tugasan masing-masing.
Program agihan pakej makanan yang dirancang hari ini ditangguhkan ke esok pagi atas beberapa masalah yang tidak dapat dielak. 3000 pakej akan diedarkan esok, 1000 pakej lagi akan diedarkan pada lusa, mungkin ditambah menjadi 2000 lagi memandangkan masih ada bekalan wang yang bersisa.
Kumpulan saya dan Timbalan Presiden ke Teknaf, melihat lokasi pelarian merentasi garis sempadan dua negara. Sepanjang jalan masih kelihatan pelarian baru tiba berhimpun di bawah pokok, kebanyakannya wanita terpinga-pinga bersama anak-anak kecil dan ahli keluarga. Jarang kelihatan warga pelarian lelaki, mungkin sedang di pedalaman mencari teduhan malam nanti. Mungkin juga mereka sudah tiada ayah dan suami, terpisah mati ataupun hilang tanpa penjelasan. Ramai pelarian di sini dalam situasi itu. Lelaki dibunuh, isteri dan anak lari menjadi pelarian.
Di Teknaf kami bertemu beberapa warga Bangladesh dari keturunan Rohingya yang dapat berbahasa melayu.
Perjalanan pulang, singgah di puncak bukit menyaksikan daerah seberang Sungai Naf, masih kelihatan kepulan asap menjulang. Di situlah Muangdaw, daerah terhampir yang diberitakan hampir semua penghuninya telah menjadi pelarian. Hanya tinggal sebuah bandar yang belum berjaya dinyalakan api perkauman di kalangan penganut buddha untuk mengganasi Muslim Rohingya.
Tiga daerah di utara Arakan dihuni majoriti penduduk Islam, tetapi tentera dan polis Myanmar menggunakan kekerasan senjata untuk membunuh dan menghalau penduduk Muslim, menjadikan etnik rakhine beragama buddha sebagai minoriti lebih berkuasa.
Dato’ Tuan Ibrahim sempat menyantuni beberapa keluarga, semuanya wanita dan kanak-kanak yang berada di situ. Emosi memang mudah remok dengan situasi bayi dan kanak-kanak walaupun sudah beberapa kali menjejaki medan pelarian itu, apatah lagi pandangan kali pertama.
Kumpulan 2 dan 3 yang diketuai oleh Ustaz Norazli Musa dan Ustaz Mohd Yusni memasuki kem di Balokhali dan menemui pelarian yang menghuni kem pelarian terbesar di dunia itu. Allah lah yang Maha Mengetahui kocakkan emosi yang melanda para peserta misi apabila menyaksikan perkitaran dan penghuninya.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Timbalan Presiden PAS dan semua peserta yang sanggup menjejaki medan sejauh 3200 kilometer ini dengan pembiayaan sendiri, membawa sumbangan yang dikumpulkan atas inisiatif masing-masing.
Ternyata, di mana saja terdapat umat Islam dilanda musibah, dizalimi dan dianiaya, PAS akan tiba di sana membawa sinar perjuangan Islam, membela dan membantu sedaya upaya.
Peserta Misi PASRelief ke Bangladesh pada kali ini:
1. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS.
2. Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
3. YB Ustaz Mohd Rosli Abdul Jabar, Pesuruhjaya PAS Pahang.
4. YB Ustaz Sollehen Mukhyi, AJK PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Selangor.
5. Ustaz Misbahul Munir Masduki, AJK PAS Pusat.
6. Ustaz Norazli Musa, Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS, Presiden Geng Ustaz.
7. Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang.
8. Zubir Ahmad, YDP PAS Langkawi.
9. Hj Mahyuddin Ali, AJK PAS Langkawi
10. Ustaz Sahruddin Muhammad, Jabatan Amal Pahang.
11. Abdul Aziz Kamali, Jabatan Amal Pahang
12. Hj Ridzuan Abu Hassan, Yayasan Amal Pahang
13. Sazali Mohd Noor, KAMI Terengganu.
14. M Shukri Mohd Noor, KAMI
15. Khalid Abdullah, KAMI
16. Mohd Khairul Azlam Mohamad, Harakah/KAMI
17. Sarina Ismail, Harakah
18. Nur Shahidah Abdul Jalil, Sukarelawan PASRelief
19. Mohd Abdul Rahman, Sukarelawan PASRelief.
Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
Ketua Operasi Misi.