Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 09/2017

909
SHARE

Tadabbur Al Quran Siri 09/2017

SURAH AL-KAHFI: AYAT 21-22: KEGEMPARAN DAN PERBALAHAN PENDUDUK SEKITAR GUA AL-KAHFI

?Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا (٢١)

Dan demikian (pula) Kami mempertemukan (manusia) dengan mereka, agar manusia itu mengetahui, bahawa janji Allah itu benar, dan kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya. Ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka, orang-orang itu berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka.” Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: “Sesungguhnya kami akan mendirikan sebuah rumah ibadat di atasnya.”

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدًا (٢٢)

Nanti (ada orang yang akan) mengatakan (jumlah mereka) adalah tiga orang yang keempat adalah anjingnya, dan (yang lain) mengatakan: “(Jumlah mereka) adalah lima orang yang keenam adalah anjingnya”, sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib; dan (yang lain lagi) mengatakan: “(Jumlah mereka) tujuh orang, yang kelapan adalah anjingnya.” Katakanlah: “Tuhanku lebih mengetahui jumlah mereka; tidak ada orang yang mengetahui (bilangan) mereka kecuali sedikit.” Kerana itu janganlah kamu (Muhammad) bertengkar tentang hal mereka, kecuali pertengkaran lahir saja dan jangan kamu bertanya tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada seorangpun dalam kalangan mereka.

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat 21, Allah menjelaskan bahawa Dia telah menunjukkan kepada kaum ketika Ashabul Kahfi dibangkitkan semula bahawa janjiNya tentang hari kebangkitan dan kiamat adalah benar dan boleh berlaku kerana pada ketika itu mereka berbeza pendapat dan meragui tentang kebenaran hari kebangkitan. Sebahagian daripada mereka berpendapat, selepas kematian, hanya roh sahaja yang akan dibangkitkan tanpa jasad. Oleh itu, kebangkitan semula pemuda Ashabul Kahfi selepas mereka tidur selama lebih 300 tahun membuktikan kekuasaan Allah untuk membangkitkan semula manusia seperti sedia kala selepas kematian.

2. Ayat 22 menceritakan tentang perselisihan pendapat orang ramai tentang bilangan pemuda Ashabul Kahfi. Ada tiga pendapat iaitu:
– 3 orang, yang keempat adalah anjingnya.
– 5 orang yang keenam adalah anjingnya.
– 7 orang, yang kelapan adalah anjingnya.

Pendapat pertama dan kedua adalah lemah, lalu Allah menyebut pendapat yang ketiga dan tidak memberi komentar sekali gus membuktikan bahawa pendapat ke-3 itu benar.

Pengajaran:

1. Kisah Pemuda Kahfi adalah antara bukti bahawa hari Akhirat itu benar, di mana manusia akan dibangkitkan semula. Peristiwa ini membuktikan Allah mempunyai kuasa mutlak untuk membangkitkan manusia sebagaimana Allah membangkitkan semula pemuda Kahfi. Ia juga menyangkal pendapat golongan yang tidak percayakan kewujudan hari Akhirat dan hari kebangkitan semula.

2. Kita mesti mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa pemuda Ashabul Kahfi supaya kembali dan mengambil pandangan Allah sekiranya berlaku perselisihan. Allah banyak menjelaskan tentang sesuatu perkara dan sekiranya ia bertepatan dengan perkara yang diperselisihkan, maka ambillah panduan yang diberikan. Sekiranya tidak menjumpai dalil khusus yang menerangkan tentangnya, maka lebih baik berdiam dan mengelak daripada mengulas isu tersebut. Tindakan ini bagi menjauhi dusta dan penipuan.

3. Elakkan diri daripada terlibat dengan pertengkaran dalam sesuatu isu melainkan kita mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya berdasarkan panduan daripada Allah SWT.

4. Penuhilah diri dengan ilmu, kerana ilmu itu nur yang menerangi kehidupan manusia, dan menghindarkan daripada dusta yang berpanjangan.

Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al Qurtubi

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 29.9.2017 / 8 Muharram 1439H