KANGAR : Laporan polis terhadap Siti Kasim dan David Orok yang mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s melalui akaun Facebook mereka telah dibuat oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Puan Hajah Latifah Binti Mat di Ibu Pejabat Polis Kangar, pada 14 September lalu.
Beliau yang tiba di perkarangan IPD Kangar seawal jam 10.00 pagi, turut diiringi oleh beberapa orang AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis dan AJK Ameerah serta Briged Muslimat Negeri.
Hajah Latifah menegaskan bahawa tindakan mereka berdua adalah berniat jahat dan bertujuan untuk memesongkan sejarah Islam.
“Kenyataan mereka berdua harus diambil tindakan kerana ia bersifat melampau dan (mereka) perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam khasnya.”
“Status facebook mereka jelas secara sengaja menyentuh sensitiviti sejarah umat Islam mengenai ibadah korban,” ujar beliau lagi.
Selain negeri Perlis, laporan polis turut dibuat secara serentak di seluruh negara oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Negeri-negeri bagi mendesak agar diadakan satu siasatan ke atas kedua-dua individu tersebut atas penghinaan yang telah mereka lakukan.