Home Berita PAS Perlis

Projek Tebatan Banjir: Kerajaan Perlis Digesa Bertanggungjawab

682
SHARE

KANGAR : Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar menggesa kerajaan negeri Perlis bertanggungjawab terhadap isu Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat Perlis yang bernilai RM 560 juta, yang kini mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.

Projek yang sepatutnya mampu mengatasi masalah banjir di negeri Perlis itu walaubagaimanapun gagal disiapkan sehingga kini, menyebabkan para penduduk khususnya di Kampung Tebing Tinggi, berhadapan masalah banjir yang sangat serius setiap kali musim tengkujuh melanda negeri ini.

Menurut penduduk, tahun ini sahaja, mereka terpaksa menanggung kerugian yang besar disebabkan kediaman mereka telah empat kali ditenggelami banjir, malah sejak tahun lalu, sudah enam kali kawasan dilanda banjir.

Mereka turut mendedahkan, sebahagian rumah penduduk di kawasan berkenaan turut mengalami keretakan yang serius akibat kerja-kerja menanam cerucuk yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

Dakwa penduduk lagi, meskipun berhadapan dengan pelbagai kesukaran, tiada sebarang bantuan diberikan kepada penduduk oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab termasuklah kerajaan negeri.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar (DPPKK) dan Majlis Tindakan Dun Bintong, menuntut YAB Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis, agar bersikap lebih serius dalam menangani permasalahan ini termasuk turun padang bagi memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikannya berjalan dengan baik mengikut jadual selain memastikan para penduduk yang terjejas mendapat pembelaan yang sewajarnya.