Home Timbalan Presiden PAS

Hakikat pengorbanan sempena Aidil Adha.

1061
SHARE

Aidil Adha bukan hanya perayaan sebagaimana masyarakat menyambut pelbagai perayaan lain. Ia adalah perayaan yang dibina di atas asas aqidah yang sangat hebat. Pengorbanan yang dibina di asas ketaatan mutlak, tanpa bantah apa lagi untuk mencari helah.

Pengorbanan besar yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim adalah lambang pengorbanan besar meliputi seluruh demensi kehidupan.

Nabi Ibrahim berhadapan dengan tindakan dihalau oleh keluarga akibat mempertahankan aqidah. Walau ia cuba pelbagai cara bagi meyakinkan ayahnya agar berfikir dengan akal yang waras. Al Quran menceritakan detik perbincangan mereka dalam Surah Maryam.

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا

Ketika ia berkata kepada bapanya:” Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun? -Surah Maryam, Ayah 42.

Pendekatan hujjah aqliyah yang diguna terhadap ayahnya merupakan satu usaha bagi mengajak berfikir secara tenang terhadap sesuatu yang disembah sebagai tuhan.

يَا أَبَتِ إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَاتَّبِعْنِي أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا

” Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.-Surah Maryam, Ayah 43.

Hasrat murni anak yang sangat kasih kepada ayahnya sehingga terkeluar kalimah ” aku akan memimpinmu ke jalan yang betul”, Inilah hasrat hati seorang anak yang mengetahui akibat dari kekufuran dan kesyirikan.

Nabi Ibrahim selanjutnya memujuk ayah agar tidak terpedaya dengan pujukan syaitan yang menghasutnya untuk terus syirik kepada Allah.

يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا

” Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.

-Sura Maryam, Ayah 44.

يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا

” Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka”.-Surah Maryam, Ayah 45.

Menghayati setiap kalimah di atas menggambarkan kepada kita bagaimana seorang anak yang berusaha menyelamatkan ayah dari azab Allah di akhirat. Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Menegur ayah tidak semudah menegur orang lain. lantaran itu pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim sangat hebat. berhadapan dengan ayah kandung, sehingga ia dihalau dan diancam oleh ayahnya. Namun sebagai anak, ia tetap berdoa kebaikan kepada ayahnya. Al Quran menceritakan,

قَالَ أَرَاغِبٌ أَنْتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ ۖ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ ۖ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا

(Bapanya) menjawab: “Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

-Sura Maryam, Ayah 46.

قَالَ سَلَامٌ عَلَيْكَ ۖ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي ۖ إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku. – Surah Maryam, Ayah 47.

Pengobanan berpisah dengan keluarga bagi mempertahankan aqidah adalah sesuatu yang sangat hebat, kerana kebanyakan manusia tidak sanggup berpisah dengan harta atau pangkat kebesaran walau nyata bercanggah dengan aqidah dan iman.

Hakikat pengorbanan Nabi Ibrahim bukan terhenti di situ. Bahkan ia berterusan dengan pelbagai ujian keimanan.

Tindakan membawa isterinya Hajar dan anaknya Ismail yang diperintah oleh Allah agar ditinggalkan dilembah kering kontang, sebagaimana firman Allah.

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.-Surah Ibrahim, Ayah 37

Pengorbanan besar untuk meninggalkan keluarga sendirian di lembah kering kontang, tiada manusia, tiada sumber air dan bekalan. Pengorbanan jiwa raga yang hanya boleh lahir dari keimanan yang tulus ikhlas, keyakinan yang jazam, dan tawakkal yang hebat.

Kepatuhan Nabi Ibrahim tidak terhenti sekadar itu. Ia bertambah hebat bila Allah memerintahkan ia menyembelih anaknya Ismail.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.-Sura As-Saaffat, Ayah 102

Setelah ia berjaya membelakagi kepentingan diri, ayah, isteri dan anaknya. Maka ujian harta pula berlaku bila Allah memerintahnya mendirikan Kaabah. Sebagai lambang kepatuhan dan pengabdian diri hamba kepada Allah.

Maka pengorbanan sebenar bukanlah sembelihan binatang korban , tetapi kepatuhan dan ketaatan mutlaknya kepada segala perintah Allah.

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.-Surah Al-Hajj, Ayah 37.

Dalam memenuhi tuntutan perjuangan bagi menegakkan Islam sebagai kuasa pemerintahan bagi menyelamatkan manusia, negera dan alam seluruhnya maka Allah telah menurunkan satu sistem yang lengkap dan sempurna untuk kebaikan manusia.

Sistem Islam adalah jawapan dan penyelesaian kepada segala kemelut yang berlaku. Kita perlu mengakui secara jujur bahawa negara memerlukan sistem dan dasar baru bagi menjamin kemakmuran, keadilan dan keharmonian; setelah gagalnya sistem yang ada.

Rasuah, salahguna kuasa, jenayah, dadah, dan seribu satu masalah melanda negara kini adalah akibat Islam tidak memerintah. Islam dengan segala sifat rahmatnya mesti dijadikan panduan.

Selagi sistem yang bersumber kepada akal manusia yang terpisah dari panduan wahyu dijadikan dasar pemerintahan, ia akan hanya menjanjikan kegagalan, kemusnahan dan kerosakan.

Sempena Aidil Adha kali ini, marilah kita perkukuhkan gerakerja jamaah, bina keupayaan diri, tingkatkan ilmu pengetahuan yang benar, tingkatkan pengorbanan agar hasrat untuk melihat dasar Islam menjadi panduan bernegara dapat dicapai. In sya Allah

Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS.
31hb Ogos 2017.