Home Berita PAS Pusat

Kes Murtad Lebih Sesuai Di Mahkamah Syariah

1353
SHARE

1. Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, PAS Pusat (LUHAM) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara memutuskan bahawa Mahkamah Syariah Sarawak yang sebenarnya memiliki bidang kuasa untuk membicarakan permohonan untuk meninggalkan agama Islam.

2. Ini disebabkan sistem perundangan Islam telah menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi untuk membolehkan seseorang itu diisytiharkan sebagai bukan lagi orang Islam. Tatacara yang lengkap dan terperinci itu telah dibuat bukan sahaja untuk memastikan kemaslahatan kepada Islam sebagai agama Persekutuan dipelihara pada setiap masa sebagaimana yang terkandung di dalam Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong, malah turut melibatkan kemaslahatan orang Islam yang merupakan populasi terbesar dalam negara ini, juga tidak ketinggalan demi kebaikan pihak yang membuat permohonan itu sendiri.

3. Masyarakat perlu dididik untuk memahami bahawa isu menukar agama bukanlah isu yang remeh seumpama menukar pakaian. Walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama sebagaimana Perkara 11 (1), tetapi ia sama sekali tidak bermaksud kebebasan mutlak, khususnya apabila ia melibatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Bahkan, rakyat perlu maklum bahawa apabila mereka menganuti sesuatu agama, maka mereka tertakluk kepada prinsip perundangan yang ada pada setiap agama yang terlibat.

4. Apabila kes seumpama ini dibicarakan sebagaimana yang sepatutnya di Mahkamah Syariah, maka ia akan melibatkan proses istitabah iaitu anjuran agar bertaubat. Prosedur ini sangat mustahak bagi kemaslahatan individu terlibat kerana siasatan dan pengumpulan maklumat perlu dibuat untuk mengenal pasti sebab sebenar yang membawa kepada permohonan itu dibuat. Jika sekiranya kebajikan individu terlibat terabai, maka ianya menjadi tanggung jawab pihak berkuasa untuk menghulurkan bantuan yang sepatutnya. Sememangnya menjadi naluri biasa manusia, apabila mereka kesepian lantaran kehilangan pasangan sama ada disebabkan perceraian atau kematian, mereka akan tercari-cari dahan baru untuk berpaut.

5. Mekanisme istitabah juga adalah sangat baik kepada pihak berkuasa terlibat. Ini kerana, daripada maklumat yang diperolehi inilah maka pihak berkenaan dapat memperbaiki mana-mana kecacatan pada sistem sokongan atau bantuan. Jika terdapat muallaf yang tidak pernah hadir kelas bimbingan agama, lalu kemudiannya datang ke mahkamah syariah untuk keluar Islam, maka inilah peluang terbaik untuk menemui mereka yang terlibat dan berusaha untuk membantu mereka. Bukan bertindak menyapunya ke bawah permaidani.

6. Setakat ini, Mahkamah Syariah di seluruh negara, pernah membuat keputusan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam disebabkan oleh amalan dan iktikad mereka sama sekali tidak dapat diselamatkan berdasarkan hukum syarak. Ini berlaku selepas segala kehendak undang-undang yang berkuatkuasa dipatuhi termasuk proses istitabah.

7. Justeru, ini menjadi suatu cabaran dan tanggung jawab masyarakat Islam dan pihak berkuasa terlibat untuk menyediakan suasana yang kondusif dan sistem bantuan yang bersifat komprehensif bagi memastikan masalah ini dapat ditangani secara matang dan harmoni.

8. Oleh yang demikian, LUHAM memohon semua pihak agar sentiasa sensitif terhadap prinsip perundangan agama serta pada waktu yang sama tidak menangguk di air keruh.

Sejahtera Bersama Islam

YB Dato’ Dr. Mohd Fadhli Bin Dato’ Hassan
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Pas Pusat

28 Februari 2018 | 12 Jamadil Akhir 1439