Tadabbur Al Quran
Juzuk 18: Surah Al-Mukminun: Ayat 1 – 11
Firman Allah serta terjemahannya:
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (1) (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya (2) dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, (3) dan orang-orang yang menunaikan zakat (4) dan orang-orang yang menjaga kemaluannya (5) kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; Maka Sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. (6) Barangsiapa mencari yang di balik itu Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas. (7) dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya (8) dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. (9) mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi (10) (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. mereka kekal di dalamnya. (11)
Tafsir ringkas:
1. Allah SWT telah menetapkan kejayaan dan keuntungan itu bagi orang-orang Mukmin yang mempunyai sifat-sifat berikut:
a) Yang khusyuk dalam solat.
‘Ali bin Abi Thalhah menceritakan dari Ibnu ‘Abbas: (“Orang-orang yang khusyuk”) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan.” Dari ‘Ali bin Abi Thalib RA: “Yang dimaksudkan adalah kekhusyukan hati.”
b) Menjauhi perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
Yakni dari kebatilan. Hal itu mencakupi juga kemusyrikan, serta berbagai ucapan dan perbuatan yang tidak membawa faedah dan manfaat.
c) Membersihkan diri dengan berzakat.
Majoriti ulama’ tafsir berpendapat bahwa yang dimaksud dengan zakat disini adalah zakat harta, Allah Ta’ala berfirman: ( “Dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya.” )(al-An’am: 141).
d) Memelihara kemaluannya(kehormatannya), kecuali terhadap isteri-isteri mereka.
Memelihara kemaluan daripada perbuatan yang haram, baik dalam bentuk perzinaan mahupun liwat (homoseksual).
e) Memelihara amanah dan janji yang dibuatnya.
Jika mereka diberi kepercayaan, maka mereka tidak akan mengkhianatinya tetapi mereka menunaikannya kepada yang berhak. Dan jika mereka berjanji atau melakukan akan perjanjian, maka mereka menepatinya, tidak seperti sifat-sifat orang munafik.
g) Melazimkan dan memelihara solatnya.
Mengerjakannya tepat pada waktunya.
2. Setelah Allah menyifatkan mereka dengan sifat-sifat terpuji dan berbagai perbuatan mulia, Dia berfirman: ( “Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, [yakni] yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.” )
3. Firman Allah Ta’ala berikut, “Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.” (Maryam: 63).
Pengajaran:
1. Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa khusyuk dalam solat dengan cara:
a) Menghadirkan hati – berusaha membuang segala yang tidak ada kena-mengena dengan solat dan juga Allah SWT.
b) Memahami perbuatan mahupun bacaan dalam solat.
c) Merasakan keagungan Allah SWT.
d) Berasa gerun iaitu bukan saja merasa keagungan Ilahi, tetapi juga berasa gerun terhadap keagunganNya.
e) Mengharap dan berdoa , agar solat diterima Allah.
f) Berasa malu kepada Allah SWT atas segala kekurangan dan kecacatan dalam solat.
2. Hati orang mukmin sentiasa dipenuhi dengan kegiatan yang tidak sia-sia seperti zikrullah, memikirkan kebesaran Allah, amal makruf nahi mungkar, memelihara kehidupan masyarakat Islam dari kerosakan dan penyelewangan.
3. Sentiasalah menjaga mata dari melihat perkara yang haram seperti aurat orang, gambar-gambar jelek dan porno, rancangan TV dan filem- filem yang lagha dan seumpamanya.
4. Jauhi amalan yang boleh membawa kepada zina seperti pergaulan bebas, berhubung lelaki dan perempuan tanpa adab Islam, samada secara berhadapan mahupun melalui medium gadget seperti handphone, whatsapps dan sebagainya.
5. Bersihkanlah diri dari sifat kikir, kikis karat-karat cinta dunia dengan memperbanyak sedekah dan menolong orang lain.
6. Pastikan janji ditepati dan amanah dilunaskan dengan baik. Catatlah sebarang temujanji dan amanah yang diberikan.
Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
18 Ramadhan 1438 / 13 Jun 2017
{jathumbnail off}