Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin : Meraikan Kasih Ramadhan di Negeri Bawah Bayu

539
SHARE

13 Jun 2017, SABAH: Semalam 17 Ramadhan 1438, Semarak Kasih Ramadhan masih lagi berada di Kepulauan Borneo meneruskan misi menyampaikan sumbangan sempena Ramadhan yang mulia ini. Dari Bumi Kenyalang, Skuad Prihatin kini meneruskan langkah pula ke Negeri di Bawah Bayu, Sabah. Kawasan yang terpilih untuk Ramadhan kali ini ialah Sandakan, Sabah.

Antara yang hadir ke Program Semarak Kasih Ramadhan hari ini ialah, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr. ‘Uyun binti Abdul Malek yang mengetuai rombongan seterusnya mewakili Skuad Prihatin Malaysia, dan diiringi oleh Pengerusi LKK DMP Negeri Sabah, Puan Izzati.

Turut hadir wakil dari PAS Negeri Sabah iaitu Encik Sahar Abdul Majid, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Puan Norsah Bongsu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS), Naib Ketua Pemuda PAS Sabah, Encik Masru Mustaqim serta pimpinan PAS kawasan yang lain.

LKK DMPM terlebih dahulu ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada PAS Kawasan Batu Sapi yang telah banyak membantu Skuad Prihatin menjayakan program Semarak Kasih Ramadhan semalam. Persediaan awal telahpun diatur dan disusun sebelum tiba hari program, melancarkan perjalanan program tersebut, Alhamdulillah.

Selain itu, PAS Kawasan Batu Sapi telahpun bertungkus lumus mencari dan menjejaki golongan yang layak untuk menerima sumbangan. Sebanyak 100 keluarga yang telah dapat dikenal pasti merupakan golongan asnaf yang terdiri daripada fakir, miskin, orang kelainan upaya, warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan golongan memerlukan.

  

Skuad Prihatin bersama rombongan PAS Batu Sapi hari ini menziarahi 100 keluarga tersebut di sekitar Parlimen Batu Sapi antaranya di Kampung Tabah Baru, Kampung Bahagia, Taman Po Hing, Kampung Lupak Meluas, Kampung Sundang dan Kampung Gas. Sumbangan berupa barang keperluan harian dan sedikit wang tunai telahpun disampaikan kepada mereka.

Jelas terpapar kegembiraan dan rasa syukur di wajah mereka yang menerima kunjungan rombongan Skuad Prihatin dan PAS Batu Sapi melahirkan rasa keinsafan di hati setiap yang hadir di program ini hari ini. Encik Sahar juga turut berkongsi perasaan dan keprihatinan beliau, katanya “Sudah tiba masanya rakyat bangkit memilih kerajaan yang prihatin dan peduli kebajikan mereka.” Manakala Puan Norsah pula berkata, “Program seumpama ini tidak terhenti di sini bahkan akan diteruskan dengan program-program yang mengutamakan rakyat.”

Alhamdulillah, semua penerima merasa bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan dan ada di kalangan mereka juga yang menyatakan bahawa mereka berasa kecewa atas sikap pemimpin kerajaan yang sering menunjukkan diri hanya apabila ada kepentingan peribadi. Ini membuktikan bahawa program-program kebajikan PAS bukanlah bermusim. Selagi masih ada kudrat dan kekuatan kuniaan Allah SWT dan keprihatinan orang ramai melalui sumbangan yang berterusan, maka selagi itu PAS akan terus berkhidmat untuk semua rakyat di seluruh Malaysia yang memerlukan, dan sudah tentu dengan keizinan Allah Azzawajalla jua.

Justeru itu, LKK DMPM mengajak Tuan Puan dan Saudara Saudari, untuk kita sama-sama berkongsi kasih dan merebut pahala seterusnya menempah saham di akhirat dengan meneruskan sumbangan bagi menjayakan misi ini melalui Program Semarak Kasih Ramadhan yang telah dijalankan seawal Ramadhan lagi di seluruh Malaysia. Bagi yang ingin menyumbang, bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun:

MAYBANK 5640 2540 0711 – Dewan Muslimat PAS Pusat

SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada:

Dr. ‘Uyun : 019 – 357 7502
Puan Zurina : 014 – 306 9141
Saudari Zuriati : 019 – 204 9434
Saudari Oyeen : 019 – 590 2381

Semoga dengan sumbangan dan usaha kecil ini, besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Jazakumullah Khair Katheera. Siiru ‘ala Barakatillah.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

 

{jathumbnail off}