Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan Siri 19/1438H

999
SHARE

Tazkirah Ramadhan Siri 19/1438H

Tadabbur Al Quran Juzuk 19: Surah Al Furqan: Ayat 63-68

Terjemahannya:

Dan hamba-hamba dari Tuhan yang pemurah itu, ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan sopan dan bila mereka ditegur sapa oleh orang-orang yang bodoh, mereka menjawab dengan “salam”. (ayat 63)

Dan mereka yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri (ayat 64)

Dan mereka yang berkata: ” Ya Tuhan kami, jauhkan kiranya kami daripada azab neraka jahannam, kerana azab neraka jahannam itu membawa kebinasaan. (ayat 65)

Dia (neraka jahannam) adalah seburuk-buruk tempat kediaman dan seburuk-buruk tempat tinggal. (ayat 66)

Dan orang-orang yang bila menafkahkan harta mereka, tidaklah mereka ceroboh dan tidak pula kikir, melainkan pertengahan di antara keduanya. (ayat 67)

Dan orang-orang yang tidak menyeru Tuhan yang lain bersama Allah , dan tidak mereka membunuh jiwa (orang) yang diharamkan oleh Allah, kecuali menurut haknya dan tidak pula mereka berzina. (ayat 68)

 

Tafsir ringkas:

1. Untuk meresapkan ayat-ayat _’Ibadur Rahman_ ini ke dalam jiwa, hayati dulu ayat sebelumnya;  mengenai pergantian malam dan siang. Apabila hal ini dihayati, akan membawa kepada zikir dan rasa syukur.

2.Allah SWT menyebut hamba-hamba-Nya dalam ayat ini dengan nama _’Ibadaurrahman_ sebagai bentuk pemuliaan kepada mereka. Oleh kerana itu Allah menyandarkan mereka dengan nama-Nya _al-Rahman_ sebagai bentuk _idhafatu al syarf._ Maksudnya orang-orang yang memiliki sifat seperti yang Allah sebutkan dalam ayat-ayat ini, akan memiliki sifat rahmat (kasih sayang) kepada makhluk-makhluk Allah lainnya, yang merupakan bentuk kurnia dari _Rabb_ Yang Maha Penyayang.

3. Ciri- ciri _’Ibadur Rahman_ yang digariskan oleh ayat-ayat di atas ialah :

i)      Tawadhu’, bijaksana dan penuh hikmah.

ii)     Gemar qiyamul lail

iii)    Takutkan neraka dan sentiasa berdoa memohon perlindungan dari azabnya.

iv)    Bersederhana dalam membelanjakan harta (tidak kedekut dan tidak boros)

v) Tidak  syirik dan tidak melakukan dosa besar seperti membunuh dan berzina.

4. Seorang ‘Ibadur Rahman memandang dosanya, biarpun kecil, adalah laksana orang yang duduk di bawah bukit, yang selalu merasa bukit itu akan menimpa dirinya.

5. Hidup yang _’Qawwaman’_ (sederhana) timbul apabila memandang harta benda semata-mata pemberian Allah dan harus dirasai nikmat penggunaannya dan harus dijaga supaya tidak dipergunakan untuk perkara yang tidak berfaedah.

 

Pengajaran:

1.  Hayatilah sifat-sifat yang Allah sebutkan dalam ‘Ibadur Rahman dan bandingkan dengan diri kita.  Tetapkan sifat-sifat tersebut sebagai KPI untuk dicapai.

2. Kita digalakkan untuk melakukan solat malam, sebagai satu sumber kekuatan untuk menghadapi sepak terajang kehidupan, mehnah dan tribulasi.

3. Kita hendaklah sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada azab neraka, walaupun telah banyak berbuat kebaikan, atas sebab kerendahan diri dan menginsafi diri sebagai hamba yang lemah.

4. Harta benda juga penting, kerana perjuangan agama dan jihad memerlukan pengorbanan harta dan jiwa.

 

Rujukan: Tafsir Al Azhar, Juz 19

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
19 Ramadhan 1438 / 14 Jun 2017