KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
8 September 2017 | 17 Zulhijjah 1438
“KESAN BERANTAI KENAIKAN HARGA MINYAK JERUT PENGGUNA”
1. Berpusu ramai para pemilik kenderaan ke stesen minyak apabila tular info kenaikan harga petrol dan diesel, telah menjadi fenomena terbaharu dapat dilihat di negara ini pada setiap Rabu malam. Walaupun tidak mencecah 10 sen perliter, bahkan kurang RM4 bagi isian penuh tangki kenderaan, tetapi ia petunjuk betapa rakyat sebagai pengguna merasa begitu terkesan oleh kenaikan tersebut.
2. Malangnya, bukan sahaja dasar subsidi dan rasionalisasi yang diadakan tidak membantu, bahkan rakyat bagai diejek dan dipermain dengan saranan penjimatan minyak oleh kalangan Menteri secara tidak masuk akal lagi menyenakkan mental. Lebih membebankan adalah kesan berantai akibat dari kenaikan itu yang meningkatkan harga pelbagai barangan penggunaan harian rakyat.
3. Keadaan bertambah sukar buat kehidupan rakyat terutama berpendapatan sederhana dan rendah, apatah lagi yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang terutama di luar bandar. Ditimpa pula oleh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadikan golongan tersebut semakin tidak merasai nikmat dan kemewahan pelbagai yang ada dalam negara ini.
4. Kuasa beli mereka semakin berkurangan akibat penyusutan ketara pendapatan diterima, sekali gus turut memberi kesan kepada penjaja, peniaga atau peruncit kecil. Ini termasuk ke atas jualan di tapak secara kelompok seperti pasar tani, pasar harian dan pasar malam. Sebaliknya, rakyat menjadi cenderung ke pasar raya besar atas tawaran harga yang lebih murah dan menjimatkan.
5. Situasi tersebut bukan sahaja menjadi persaingan yang tidak seimbang dalam perniagaan, malah menjadikan lebih ramai rakyat berada dalam status miskin dan perlu dibantu. Natijahnya, mentaliti rakyat lebih tertumpu bekerja mencari pendapatan, tanpa punya kualiti hidup dan mengabaikan banyak perkara. Ia turut mendatangkan impak sosial kepada kekeluargaan dan kemasyarakatan.
6. Tekanan hidup ini telah menyumbang pelbagai gejala negatif dalam kalangan rakyat yang akibatnya berbalik kepada pihak kerajaan. Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk pengurusan dalam sesuatu perkara kerana ketidakpedulian awam seperti kebersihan, kesihatan dan jenayah. Malah ditunjukkan dengan pertambahan bilangan penerima zakat, bantuan kebajikan dan BR1M.
7. Lebih mengecewakan rakyat, aspek penguatkuasaan terhadap kesan berantai kenaikan harga barangan hanya sekadar hiasan dan ugutan olok-olok di media serta bermusim. Kerajaan tidak pernah jujur dan serius menanganinya, selain dilihat buntu dan tepu untuk mengutarakan penyelesaian. Sedangkan, soal kesejahteraan rakyat adalah amanah paling utama buat pemimpin untuk mewujudkannya.
8. Malaysia antara negara dilimpahi banyak hasil bumi terutama petroleum, selain kaya dengan sumber galian dan alam. Namun, sekian lama ia mengisi tembolok elitis dari kalangan ahli politik, keluarga dan kroni. Rakyat pula menjadi sasaran diperah keringat dan pemilikannya di mana menurut kajian umum, seperempat pendapatan mereka adalah untuk membayar pelbagai jenis cukai dalam negara ini.
9. Kerana itulah PAS menyeru untuk kembali kepada Islam yang menyeluruh dalam menangani segala kebejatan berlaku ini. Antaranya Islam mengajar integriti pengurusan harta kekayaan negara termasuk pengagihan seimbang kepada rakyat dengan tidak berlegar dalam kalangan tertentu, selain memperkasakan zakat. Juga PAS konsisten mendesak GST dihapuskan dan diganti oleh percukaian korporat.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia