Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Khutbah Jumaat; Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang : Hikmah Ujian Allah

2444
SHARE

Khutbah Jumaat
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Hikmah Ujian Allah
(11 Zulkaedah1438) 04/08/2017

 

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada diri kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa kepada Allah. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertakwa kepada Allah.

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwanya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu adalah orang-orang Islam.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah bersama-sama kita merenung Firman Allah SWT di dalam Al-Quran Karim dan mengambil pengiktibaran daripadanya :

(MaksudNya): Alif laam mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Diantara ketetapan Allah SWT yang berlaku kepada umat manusia adalah ujian-ujian yang ditentukan oleh Allah SWT berlaku di dalam kehidupan ini yang mempunyai hikmah-hikmah yang sangat besar di sisi Allah SWT.

Diantara hikmah-hikmah itu adalah Allah SWT mahu mengangkat darjat dan kedudukan seseorang itu di sisi Allah SWT dengan lebih tinggi sebagimana yang telah berlaku kepada Ulul Azmi daripada kalangan Nabi-nabi dan Rasul-rasul iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad . Nabi-nabi yang digelar oleh Allah SWT sebagai Ulul Azmi mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang kerana mereka merupakan Nabi-nabi yang paling banyak diuji oleh Allah SWT.

Nabi Ibrahim digelar sebagai Khalil lur-Rahman. Nabi Musa dianugerahkan oleh Allah SWT untuk bertutur dengan-Nya. Begitu juga Nabi Isa dikurniakan oleh Allah SWT dengan kelebihan-kelebihan. Dan sudah tentulah lebih-lebih lagi Nabi kita Muhammad yang menjadi penghulu kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul .

Diantara hikmah-hikmah daripada ujian Allah SWT di dalam kehidupan ini adalah Allah SWT mahu melihat siapakah dari kalangan hamba-hambaNya yang paling baik amalannya di sisi Allah SWT.

Firman Allah Taala :

(MaksudNya): Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Diantara hikmah-hikmah itu juga Allah SWT mahu menapis dalam kalangan umat Islam mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan mereka yang berhubung dengan keimanan mereka, sebagaimana ujian yang berlaku di dalam peperangan Ahzab yang disertai oleh Nabi Muhammad . Allah SWT menyatakan di dalam Firman-Nya:

(MaksudNya) : Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu. Semasa kamu didatangi tetera (Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu kerjakan. Masa itu adalah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tanpa pertahanan) kamu dan masa itu adalah masa pemandangan mata kamu tidak ketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut) dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.

Allah SWT berFirman menyatakan ujian di dalam peperangan Ahzab ini adalah menzahirkan orang-orang munafik yang wujud di dalam masyarakat bersama-sama dengan Nabi Muhammad . Setelah berlakunya peperangan tersebut, maka jelaslah setiap yang benar-benar bersama dengan Nabi Muhammad dan siapakah yang berbohong dengan keimanan yang ada di dalam diri mereka.

Ini adalah sebahagian daripada hikmah ujian-ujian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT berlaku kepada umat ini. Untuk menjadikan kita umat Islam yang memuhasabah daripada ujian-ujian yang berlaku ini supaya kita tergolong dapam kalangan orang-orang yang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah SWT dan memperelokkan amalan masing-masing untuk menjadi hamba-hamba Allah yang hampir dan dekat dengan-Nya.

(MaksudNya) : Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

{jathumbnail off}