Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | Budaya Wacana Tidak Harus Dicemari Elemen Melampau

551
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
14 Ogos 2017 | 21 Zulkaedah 1438

“BUDAYA WACANA TIDAK HARUS DICEMARI ELEMEN MELAMPAU”


1.    Budaya forum, wacana, dialog dan seumpama yang memugar pandangan serta membina ketinggian pemahaman dan intelektual harus didokong ke arah membangunkan tamadun. Malah, perbezaan pendapat adalah lumrah yang akan meluas dan mengukuhkan perbincangan untuk dirai secara hormat dan matang.

2.    Malangnya, kejadian membaling kasut, kerusi dan mercun suar semasa program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, semalam menunjukkan elemen emosi telah mengatasi akal. Perbuatan demikian telah mencemar budaya murni yang sepatutnya diwujudkan daripada penganjuran program seperti itu.

3.    Walau apapun tujuan pelaku dan sasarannya, tindakan itu ternyata keterlaluan dan melampau yang mesti diajukan ke pihak berkuasa. Ia bukan sahaja mengundang keresahan, tetapi juga memberikan risiko kecederaan kepada pihak awam. Perkara ini mesti dibendung segera agar tidak menjadi ikutan di majlis lain.

4.    Iktibar dan muhasabah juga perlu dilakukan pihak penganjur yang mungkin ghairah atau membiarkan program seperti itu menjurus kepada unsur sensasi hingga mengundang provokasi dan ketegangan. Apatah lagi terdapat dakwaan peristiwa itu disengajakan sebagai propaganda dan taktik pihak tertentu.

5.    Jika demikian program yang bersifat perbicangan, bermakna ia tidak menuju kepada ketelusan dan kebenaran. Bahkan, ia akan menyemarakkan lagi rasa sangsi dan tidak puas hati hingga merosakkan hubungan masyarakat itu sendiri. Bagaimanapun, kami mengharap adanya siasatan terhadap insiden itu.

6.    Kami menyeru semua pihak agar mengembangkan penganjuran program sedemikian sebagai wadah yang sihat. Lebih-lebih lagi topik yang ada hubungkait dengan politik negara. Masyarakat Malaysia perlu dididik membetulkan kembali persepsi terhadap politik yang berakar sebagai pemerintahan dan kepimpinan.

7.    Ia harus dibawa kepada mengangkat kesejahteraan hidup bersama dengan menjadikan politik sebagai amanah dan tanggungjawab, bukannya peluang atau kesempatan atau kepentingan. Untuk itu, politik secara matang dan sejahtera diharap akan mengembalikan negara dan rakyat ke landasan sebenarnya.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
{jathumbnail off}