Home Berita PAS Pusat

Al Bayaanul Mubin. Siri 54: Kenapa PAS MENOLAK Pindaan Akta 164

532
SHARE

Al Bayaanul Mubin. Siri 54
27 Zulkaedah 1438 / 20 Ogos 2017

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (AKTA 164)
Rumusan Sidang Muzakarah Akta 164 Disusun oleh : Nasrudin bin Hassan Ketua Penerangan PAS Pusat
Kenapa PAS MENOLAK Pindaan Akta 164


Muqaddimah

PAS telah menganjurkan Muzakarah Akta 164 pada 16 Ogos 2017 yang lalu secara tertutup di Hotel De Palma Ampang. Muzakarah ini dihadhiri oleh Sahibus Samahah Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan), En. Aidil Khalid (Concerned Lawyer for Justice), Tuan Hj Abdul Rahim Sinwan (Timb. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia), En. Lukman Sheriff (Pengerusi Malaysian Lawyer Circle), En. Aminudin Yahya (Sekretariat Ummah) dan Datuk Wan Ahmad Fauzi Bin Haji Wan Husain (Panel Penasihat LUHAM)

YB Ust Idris Ahmad Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Dato Iskandar Abd Samad Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato Takiyudin Hassan, YB Dato Dr. Khairudin at Takiri Ahli Parlimen Kuala Nerus. Dato Dr Mahfodz Mohamad Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dato Dr. Nik Zawawi Salleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS turut sama menyertai muzakarah tersebut.

Secara dasarnya melalui muzakarah ini, adalah dirumuskan :

1. Adalah diakui, bahawa suatu pindaan terhadap undang-undang sedia ada sememangnya diperlukan, khususnya bagi menyelesaikan masalah status perkahwinan tergantung apabila seseorang bukan Islam yang pada awalnya berkahwin dalam perkahwinan sivil, memeluk agama Islam. Walaubagaimanapun, pindaan tersebut hendaklah mengambil kira hak dan kepentingan kesemua pihak, dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

2. Kerajaan dilihat sangat tergesa-gesa meluluskan Pindaan Akta 164 tanpa melalui proses yang melibatkan pakar dan pihak-pihak yang berkepentingan.

3. Pindaan Akta 164 bukan sahaja melibatkan hak non Muslim, namun juga melibatkan hak muslim (muallaf). Justeru itu, mestilah terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Raja – Raja Melayu di mana Sultan adalah ketua agama negeri.

Selain itu, pindaan ke atas Akta 164 ini juga turut melibatkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam, dan juga Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri, yang masing-masingnya jatuh di bawah bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong dan Sultan.

4. Langkah meminda Akta 164 lebih banyak mencetus pertikaian undang-undang berbanding penyelesaian. Dalam pada kita hendak menyelesaikan secara jangka pendek masalah perkahwinan tergantung muallaf di sisi undang- undang sivil, jangan pula kita mencipta masalah yang lebih parah dalam jangka masa panjang, terutamanya berkait isu bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Sivil, serta hak dan tanggungjawab muallaf di sisi hukum syarak.

5. Sungguhpun kerajaan telah menarik balik seksyen 88A Akta 164 yang menafikan hak muallaf untuk menentukan agama anaknya, tetapi hakikatnya masih terdapat beberapa peruntukan lain dalam pindaan Akta 164 ini yang menjadi titik pertikaian.

Adapun secara khususnya :

6. Pindaan Seksyen 3 Akta 164, merampas bidangkuasa Mahkamah Syariah dan pihak-pihak berkuasa agama negeri terhadap muallaf dan anak-anaknya yang beragama Islam.

Hal ini kerana seksyen ini memberikan hak dan bidangkuasa “eksklusif” kepada Mahkamah sivil untuk mendengar dan memutuskan pertikaian berhubung perkahwinan, perceraian, pembahagian harta, hak jagaan anak, dan lain- lain yang melibatkan seseorang mualaf dalam perkahwinan sivilnya. Ia memberi ruang terlalu luas untuk Mahkamah Sivil membuat satu keputusan yang berkemungkinan bertentangan dengan Undang- Undang Substantif Hukum Syarak dan Fiqh Islam ke atas kepentingan seorang muallaf dari segi dirinya, tanggung jawabnya, hartanya dan anak- anaknya yang mungkin telah menjadi Muslim.

7. Pindaan Seksyen 51, hanya memberi hak seorang Muslim untuk memfailkan pembubaran pernikahan sivilnya, tetapi hak pembubaran itu tidak akan menyelesaikan pertikaian dan pertindanan hak seorang Muallaf dan tanggungannya. Ini adalah kerana persoalan Bidangkuasa masih tidak dapat dirungkai.

8. Pindaan Seksyen 51A akan membolehkan Mahkamah Sivil membuat keputusan melangkau dan bercanggah Hukum Syarak mengenai Harta Muallaf yang meninggal sebelum Pembubaran sempat diselesaikan. Malahan persoalan faraid dan hak Baitul Mal Negeri-Negeri di bawah bidangkuasa Sultan, secara terang-terangan dipinggirkan.

9. Semua ini jelas bertentangan dengan:-
(a) Bidangkuasa Mahkamah Syariah Negeri di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan; dan
(b) Bidang kuasa Negeri yang ditetapkan oleh Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan dan mencabar kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam yang dijamin oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

10. Masalah akan timbul lambat laun, apabila kes-kes perceraian dibawa ke Mahkamah di bawah Akta 164 seperti yang dipinda, dan peguam bagi mana-mana pihak membangkitkan isu keabsahan pindaan tersebut di sisi Perlembagaan Persekutuan. Jika itu berlaku, Mahkamah boleh mengisytiharkan pindaan Akta 164 tersebut sebagai tidak sah, kerana melanggar bidangkuasa Mahkamah Syariah dan kuasa Sultan, dan kesannya, masalah tidak pun dapat diselesaikan, sebaliknya kembali kepada titik awal.

Kesimpulan
~ RUU 164 adalah bercanggah dengan konsep kedaulatan Malaysia yang bercirikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, mengenepikan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di dalam negeri baginda masing-masing, menceroboh bidang kuasa dalam Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah seperti dijamin oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan yang sama.
~ RUU 164 adalah bercanggah dengan prinsip perlembagaan dan sumpah ahli Parlimen untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan.
~ Justeru, RUU 164 adalah TIDAK SAH dan hendaklah disemak semula oleh Dewan Negara (yang sedang berlangsung sehingga berakhir pada 22 Ogos 2017).
~ YDP Agong mempunyai kuasa tersimpan (reserved powers) di bawah Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menolak perkenan RUU 164.

CADANGAN MUZAKARAH SEBAGAI SATU SOLUSI

Justeru, menghormati kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama di dalam Negeri baginda masing-masing dan undang-undang peribadi seorang muslim berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, Maka dicadangkan pindaan kepada RUU 164  dan statut-statut berkaitan seperti berikut:

1. Perintah pembubaran perkahwinan sivil seorang muallaf yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah hendaklah diterima sebagai bukti konklusif oleh Akta 164 sebagai salah satu syarat untuk membubarkan perkahwinan sivil secara ex-parte melalui permohonan pendaftar perkahwinan sivil.
Dalam hal ini, seorang muallaf tidak dijadikan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Sivil tetapi boleh hadir sebagai seorang saksi untuk mengesahkan perintah Mahkamah Syariah.

2. Akta 164 dan statut-statut berkaitan hendaklah mengandungi peruntukan yang mengarahkan pasangan terlibat untuk menghadiri sulh (MEDIASI) bagi menguruskan hal berkaitan agihan harta sepencarian, nafqah, hak penjagaan anak, hak pendidikan, alimoni dan remedi bersangkutan selepas perintah pembubaran perkahwinan sivil oleh Mahkamah Syariah disahkan oleh Mahkamah Sivil.

Dalam hal ini, keputusan sulh (mediasi) itu hendaklah dimuktamadkan dalam bentuk perjanjian dan difailkan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil berkenaan.
3. Pihak – pihak di anjurkan ke Forum Mediasi pada awalnya dan sekiranya pihak-pihak tidak boleh mencapai atau membuat kesepakatan maka Tribunal sebagai Penyelesaian.

4. Sebelum tertubuhnya kedua-dua (Mediasi dan Tribunal), Kerajaan memerlukan Satu Jawatankuasa Khas untuk meneliti persoalan:

i.) Bagaimana Bidangkuasa Federal dan Negeri boleh membenarkan Mediasi dan Tribunal ditubuhkan yang mempunyai Pengiktirafan dan Akreditasi dalam sistem Federalisma.
ii.) Hasil dari Kajian Jawatankuasa ini dipersembahkan pada Majlis Raja Raja Melayu supaya boleh tertubuhnya Mediasi dan Tribunal dan memilih mereka yang berkelayakan
iii.) Memberi Jawatankuasa ini tempoh 3 Tahun untuk meneliti undang-undang yang berkaitan dan usulkan pindaan undang-undang mana yang perlu untuk membenarkan Mediasi dan Tribunal.

Sejahtera Bersama Islam
Sekian.

{jathumbnail off}