Home Berita PAS Pusat

KDN Gagal Urus Isu Pekerja Asing

587
SHARE

KENYATAAN MEDIA
28 JULAI 2017

KDN GAGAL URUS ISU PEKERJA ASING


1. Lambakan pekerja asing di negara ini sudah mencapai tahap sangat membimbangkan yang dilihat sudah tidak terkawal dan memberi kesan cukup negatif bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi mapan, tetapi keselamatan sosial, bahkan juga kepada keselamatan negara.

2. Pihak kerajaan gagal memberi perhatian serius hingga masalah ini telah mendatangkan kesan berantai termasuk jenayah dan sosial. Pekerja asing yang sah sehingga bulan Jun 2017 telah berjumlah 1.78 juta.

3. Angka ini tidak termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dianggarkan melebihi angka disahkan KDN sendiri dan walaupun setelah melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula ( _Rehiring_) sebagai tindakan mengurangkan PATI.

4. Menurut jawapan KDN kepada soalan di Parlimen berikut adalah 10 negara dengan bilangan warganegara paling ramai di negara ini:

1) Indonesia – 728,870
2) Nepal – 405,898
3) Bangladesh – 221,089
4) Myanmar – 127,705
5) India – 114,455
6) Pakistan – 59,281
7) Filipina -56,153
8) Vietnam – 29,039
9) China – 15,399
10) Thailand – 12,603

5. Dalam isu ini PAS melihat dari segi ekonomi di mana kesan paling ketara ialah kurangnya peluang pekerjaan kepada warga negara dan kadar upahan buruh secara keseluruhannya. Dengan pertumbuhan ekonomi agak sederhana, jumlah tenaga kerja diperlukan adalah lebih rendah dari bekalan berlebihan sedia ada disebabkan lambakan pekerja asing.

6. Pada hemat kami, hasilnya majikan akan lebih bersedia untuk mengambil pekerja asing dengan bayaran upah lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Inilah hujah utama digunakan oleh majikan dengan mengatakan bahawa pekerja tempatan lebih memilih untuk mendapat pekerjaan.

7. Hakikatnya upah yang disediakan adalah jauh lebih rendah dari sepatutnya berasaskan pencapaian ekonomi dan kos sara hidup semasa. Malah, majikan sanggup mengambil pekerja yang tidak mahir berbanding pekerja tempatan lebih mahir dengan permintaan sangat rendah dari pekerja asing.

8. Hasilnya pekerja tempatan terlatih pun sangat sukar untuk mendapat pekerjaan dan kini jumlah tenaga pekerja terlatih dan graduan dari pengajian tinggi yang menganggur sudah mencapai ratusan ribu. Masalah pengangguran di kalangan anak muda dan graduan dari institusi pendidikan tinggi khususnya akan memberi kesan jangka panjang kepada negara jika tidak dapat di tangani dengan berkesan.

9. Justeru PAS mencadangkan agar diwujudkan perancangan secara menyeluruh dalam menangani isu tenaga kerja ini termasuk isu pengambilan tenaga pekerja asing dan tindak segera bagi mengatasi masalah PATI.

“Sejahtera Bersama Islam”

HAJI ZAINAL ABIDIN KIDAM
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat.
28 Julai 2017

{jathumbnail off}