MUKTAMAR PAS Pusat dan Dewan-Dewan kali ini memilih Kerdau, Pahang sebagai tapak acara terbesar gerakan Islam tertua negara ini, walaupun boleh sahaja amilin PAS berhimpun dalam keadaan yang lebih selesa jika muktamar diadakan di negeri PAS memerintah. Hasratnya agar mesej dibaca kepada seluruh warga Pahang untuk menjadikan tanah Mat Kilau dan Bahaman ini menjadi pusat pertapakan PAS yang kelima. Pahang adalah negeri berdaulat yang pernah bersimbah darah syuhada yang menentang kuasa Pax Britannica yang arogan. Negeri dengan jajaran tanah rancangan FELDA ini pernah menjadi tempat buangan aktivis PAS dalam dekad 80-an.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (kini DPPM) memilih Kerdau, Pahang sebagai lokasi Muktamar kali yang ke-65. Pastinya himpunan ini memicu perhatian peminat politik tanah air, media dalam negara, juga menjadi pesta ukhuwwah para amilin gerakan Islam. Hadirnya ditunggu malah resolusi Muktamar Pemuda sentiasa terkedepan.
Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam telah ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi, seorang guru agama yang dikenali di sebelah utara Semenanjung. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50-an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi, Ustaz Baharuddin Latif dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.
Sejujurnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah entiti parti yang paling dinamik, memicu pesona serta menelurkan pelbagai idea penting kepada badan induk jamaah ini. Sebagai sayap penting, ia jauh daripada sikap mengampu dan merasa selesa dengan kondisi yang ada. Dewan Pemuda PAS adalah kilang tajnid serta melahirkan generasi pimpinan PAS di sepanjang zaman.
Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr. Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956, mengusahakan agar Dr. Burhanudin menjadi tonggak utama PAS. Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah; pernah beliau mendekam dalam penjara British beberapa kali iaitu pada tahun 1935, 1937 dan 1950. Malah di zaman pemerintahan PERIKATAN, Almarhum pernah ditahan di bawah ISA.
Dewan Pemuda dalam dekad 70-an telah menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, di mana terlantiknya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat saat itu, Dato’ Mustapha Ali, sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah di kalangan anak-anak muda. Aktivis Pemuda membantu program pendakwahan skala besar dalam era kebangkitan semula Islam.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini. Pemuda PAS telah melangkah gagah di pelbagai sektor; merekalah yang memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS. Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam di dunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi, daripada prasekolah sehinggalah kepada kolej universiti.
Gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal pada tahun 1991, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kaca mata masyarakat awam. Di mana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik. NGO, jaringan sivil yang dibidani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat terus menyebar kebaikan dan kepedulian ummat di pelbagai peta luka umat Islam.
Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan Alternative Riding Club (ARC), menjadikan kelompok anak-anak muda yang berminat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan Pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam. Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana, dialog dan seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.
Dewan Pemuda PAS yang melepasi tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh, dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera regim penguasa. Lihatlah era Abdul Samad Gul Mianji, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Hasan Shukri, Cikgu Mustapha Ali dan Ustaz ABC, bagaimana Pemuda mendobrak kezaliman regim dan mencetus idea-idea baru dalam jamaah Islam ini. Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa, dingin intelek serta suram keberanian.
Muktamar Pemuda PAS pernah meluncurkan gagasan generasi sejahtera yang mempunyai pakej lengkap kompetensi, mempunyai tampang pemuda haraki dan sufi, memadukan antara kemapanan ilmu dan keberanian di lapangan amal. Mereka memiliki ilmu yang luas dan membina jaringan sosial yang baik demi mengarusperdanakan perjuangan. Pemuda PAS terbukti sebagai agen paling hadapan dalam harakatul ummah yang kini mempunyai 43 orang MP dan 148 orang ADUN di seluruh negara. PAS telah menang bergaya dalam PRU pada 19 November 2022 dan PRN pada 12 Ogos 2023, di mana Pemuda PAS terbukti berjaya merengkuh sokongan dan dokongan anak-anak muda di saluran-saluran empat dan lima!
Teruskanlah era pengukuhan jamaah ini, era tamkin serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 12/9/2024