RANG UNDANG-UNDANG WASIAT ORANG ISLAM 2023
Berdasarkan kajian yang dijalankan badan-badan berautoriti, dianggarkan pada masa kini harta umat Islam yang tidak dituntut berjumlah kira-kira RM70 bilion.
Banyak punca yang menyebabkan harta ini tidak dituntut, antaranya disebabkan oleh maklumat harta yang tidak lengkap, pertelingkahan di antara waris, pembekuan harta pusaka, isu kematian berlapis, isu anak angkat, waris tidak dapat dikenal pasti, kos pentadbiran harta pusaka dan lain-lain.
Angka ini dilihat semakin meningkat hari demi hari, namun kita seakan-akan tidak dapat menangani masalah ini secara tuntas.
Malahan ia terus membelenggu pewaris harta yang sepatutnya mendapat manfaat harta pusaka, namun sayangnya ia terus terbeku akibat faktor faktor yang disebutkan.
Instrumen wasiat merupakan instrumen penting dalam perancangan harta pusaka Islam.
Apa sahaja usaha memperkemas atau memperkukuhkannya melalui penggubalan undang-undang mestilah disokong penuh bagi memastikan masyarakat Islam mendapat manfaat yang sewajarnya.
Hal ini kerana, ia mempunyai kedudukan yang tersendiri di dalam Islam dari segi hukum dan cara pelaksanaannya.
Sekiranya instrumen ini diuruskan dengan teratur dan menepati kehendak syarak, maka nasib kaum kerabat terdekat yang memerlukan bantuan akan terbela.
Instrumen ini boleh digunakan ke atas anak angkat, anak susuan, bapa angkat, ibu angkat dan sebagainya yang mempunyai hubungan kasih sayang yang rapat tapi tidak berhak mendapat harta pusaka.
Saya sekali lagi dengan ini menegaskan usaha baik ini seharusnya tidak terhenti di sini sahaja (penggubalan RUU Wasiat Orang Islam 2023).
Saya mencadangkan agar kerajaan negeri melalui agensi-agensi bertanggungjawab dapat mengembleng tenaga untuk menggubal RUU Hibah yang seringkali menjadi topik bualan hangat dikalangan masyarakat Islam.
Seterusnya meneroka usaha kearah satu RUU Faraid di masa hadapan.
Dengan ini SELAMA menyokong.
Mohd Akmal Kamarudin
Ahli Dewan Negeri Kawasan Selama.