Home Berita PAS Perak

PAS parti politik terkuat hari ini – YDP Tambun

41
SHARE

PAS parti politik terkuat hari ini – YDP Tambun

Oleh: Akif Danisya Ismail

TAMBUN: PAS merupakan parti yang mempunyai tujuan utama yang jelas iaitu memartabatkan Islam di muka bumi ini melalui medan politik, demikian ucap Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said.

Katanya, gerak kerja ahli PAS tidak semata-mata urusan dunia sahaja malah ia menyeluruh untuk kepentingan akhirat sekali gus menjadikan parti PAS tetap unggul hingga ke hari ini.

“Jika ada orang yang nak mempersoalkan tujuan (martabatkan Islam) kita, kita biarkan sahaja (lah) mereka ini. Yang penting kita faham keberadaan kita dalam jemaah ini untuk perjuangkan Islam.

“Jika bukan itu tujuannya, maka kita semua ni dikira buang masa sahaja. Itulah sebabnya PAS terus hidup hingga ke hari ini.

“Kita tidak bergantung pada keputusan pilihanraya. Kalah menang kita tetap (teruskan) berkerja. (Bahkan) hari demi hari kita terus bina kekuatan dalam jemaah ini,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu pesannya, meskipun PAS belum menguasai negara ini secara keseluruhan, namun PAS komited dan istiqamah menuju ke arah kemenangan itu.

Namun begitu, tegas Ustaz Salleh agar ahli PAS meyakini bahawa segala sesuatu yang dikurniakan merupakan pertolongan Allah, bukan kerana penyusunan strategi dan usaha kuat semata-mata.

“Kita sempat tengok masa PAS lemah. Kita (juga) sempat tengok PAS kalah dalam PRU, PRN, PRK. Kita juga sempat tengok PAS menang. (Dan) kini PAS menjadi parti yang terkuat dipersada politik hari ini. Segalanya dengan izin Allah” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Tafaqquh Fiddin bulanan anjuran PAS ZON Klebang di Markaz PAS Medan Klebang Restu, baru-baru ini.