Islam dilaksana,negara sejahtera
Menjelang Pilihanraya Negeri (PRN15) bagi 6 negeri yang bakal diadakan pada 12 Ogos 2023 ini, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) menyeru para pengundi yang bijaksana agar tidak ragu-ragu untuk mengundi calon-calon Perikatan Nasional (PN) dan PAS yang bakal bertanding nanti.
PAS dan parti-parti gabungan dalam Perikatan Nasional menawarkan kepada para pengundi, satu sistem pentadbiran yang lebih dinamik, telus dan adil berteraskan ajaran Islam yang sifatnya sebagai rahmat kepada seluruh umat tidak kira agama, bangsa dan keturunannya.
Tak kenal maka tak cinta, bila sudah kenal pasti rasa selesa dan bahagia. Islam bukan sahaja sistem kepercayaan dan ibadah ritual semata-mata. Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna, merangkumi seluruh kehidupan bukan sahaja manusia malah segala isi alam keseluruhannya.
Islam telah menentukan aturan setiap perkara, dari mula kita bangkit dari tidur sehinggalah kita tidur dan bangkit semula. Islam telah menyediakan ‘Standard of Procedure” (SOP) bagi setiap aktiviti kehidupan manusia tanpa tercicir satu pun.
Dari hal-hal yang bersifat peribadi, kekeluargaan, pekerjaan, kerjaya, perniagaan, kemasyarakatan sehinggalah kepada tadbir urus kerajaan dan kenegaraan.
Ilmu pengajian dalam Islam sangat luas dan terperinci berbanding agama dan fahaman lainnya. Pelbagai pecahan ilmu dalam bidang Aqidah (teras kepercayaan), Ibadah (pengabdian kepada Tuhan), akhlak, jinayah, munakahat danmu’amalat, jika dikaji dan diperhalusi dengan hati yang lurus dan terbuka, pasti akan terserlah bahawa setiap yang diajar oleh Islam adalah menjurus kepada kesejahteraan manusia dan isi dunia.
Isi kandungan ajaran Islam sesuai untuk umat sejagat, bukan hanya untuk penganutnya sahaja. Islam menyuruh melakukan perkara-perkara yang baik dan diterima umum dan melarang dari melakukan perbuatan jahat, ganas, menindas dan apa jua yang menyebabkan kerugian dan kerosakan di muka bumi ini.
Elemen-elemen seperti disebutkan ini adalah sesuatu yang boleh diterima oleh umat sejagat. Jadi tidak ada sebab untuk menolak perlaksanaan nilai-nilai murni Isam sekalipun oleh seorang yang bukan beragama Islam.
Di Malaysia ini kita boleh lihat dengan jelas di negeri-negeri yang sedang ditadbir oleh PAS berpandukan ajaran Islam, ekonominya tetap berkembang maju, orang bukan Islam tetap hidup aman, harmoni dan sejahtera dengan kebajikan dan kepentingan mereka kekal terbela.
Orang bukan Islam juga tidak perlu ada rasa bimbang dan takut kerana tiada paksaan untuk mereka menganut agama Islam. Menerima nilai-nilai murni Islam tidak bermakna orang bukan Islam telah menukar agamanya kepada Islam kecuali mereka mengucapkan kalimah syahadah.
Dibawah pentadbiran berteraskan ajaran Islam, orang bukan Islam tetap bebas dan berhak melaksanakan dan mengamalkan ajaran agama mereka. Hanya sahaja mereka dilarang memaksa orang Islam menganut agama mereka sebagai menghormati prinsip kebebsan beragama yang ada dalam Islam.
Perlu ditegaskan juga yang manusia tidak akan menjadi papa hanya kerana memilih sistem ekonomi Islam. Manusia juga tidak akan dihukum sewenang-wenangnya tanpa terlebih dahulu diadili di bawah sistem perundangan Islam. Tadbir urus negara lebih berintegriti bila ajaran Islam diamal oleh para pemimpin, pembuat dasar dan seluruh agen pelaksana.
Allah adalah yang menciptakan manusia dan alam seluruhnya. Hanya Allah lah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Rugilah kalau kita meninggalkan sistem terbaik yang telah ditetapkan olehNya.
Ayuhlah seluruh warganegara Malaysia, kekallah bernaung di bawah payung pentadbiran berteraskan Islam dan ubahlah dari sistem pentadbiran yang lain selain daripadanya. Pilihlah untuk masa depan negara yang lebih sejahtera bersama PAS dan Perikatan Nasional.
ZAKIAH BINTI TUKIRIN
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Johor