Home Melaka

Rencana | Lantikan politik PH-BN : bagaikan bercakap dengan orang gila

488
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-baru ini Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden PAN telah melantik lima orang pimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi mempengerusikan badan-badan berkanun di bawah kementeriannya.

Antara yang menerima habuan ini ialah Naib Presiden PAN, Mahfuz Omar yang dilantik menerajui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Sejak sekian lama sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lagi PH mengutarakan idea ‘tiada lantikan politik’ terhadap agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Asalnya mereka tidak senang dengan cara BN-Umno yang sekian lama menggunakan jawatan-jawatan ini sebagai habuan kepada pimpinan-pimpinan mereka.

Malah organisasi-organisasi yang diketuai oleh ahli-ahli politik yang dilantik ini pula ‘berpeluang’ untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki oleh organisasi-organisasi ini untuk manfaat politik pemimpin tersebut dan parti mereka.

Kerana kononnya jelik melihat perkara ini berlaku, PH yang sekian lama mahu menunjukkan mereka mampu menjadi kerajaan yang cekap dan tiada ‘hanky panky’ telah memperjuangkan perkara ini.

Namun hakikatnya semasa berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14 mereka tanpa rasa segan silu tetap melantik pemimpin-pemimpin politik mereka ke jawatan-jawatan pengerusi badan-badan berkanun atau GLC.

Selepas selesai PRU14 berlakulah banyak pilihan raya kecil (PRK). Pada masa itu kita dapat melihat agensi-agensi ini digunakan sepenuhnya oleh PH untuk berkempen dalam PRK.

Apa yang berlaku bukan sahaja sama, malah lebih teruk daripada apa yang berlaku di zaman Umno-BN. PH jauh lebih rakus melanggar segala janji mereka dalam manifesto mereka sebelum itu. Boleh baca laporan BERSIH, sebuah organisasi pemantau pilihan raya yang pro-PH tentang perkara ini.

Dan sehingga ke hari ini PH tidak serik-serik dibahan kerana melanggar lagi janji dan manifesto sendiri yang mereka laungkan dalam PRU ke 15 lepas.

Iyalah, memang PH-BN secara rasmi membentuk kerajaan bukan dengan memperjuangkan manifesto yang sama pada PRU15 yang lepas. Kerana mereka bertanding berasingan dan manifesto juga berbeza.

Namun itu tidak bermakna semua yang PH atau BN lontarkan sebagai manifesto pada PRU15 tidak terikat untuk dilaksanakan. Sekurang-kurangnya, mana-mana menteri PH ikutlah manifesto PH dan mana-mana menteri BN ikutlah manifesto BN.

Kita sedia maklum memang BN selama ini mengamalkan lantikan politik sebagai habuan buat pimpinan mereka. Jika menteri BN nak buat begitu, logiklah.

Tetapi PH memperjuangkan agar tiada lantikan politik dalam badan berkanun dan GLC. Sekurang-kurangnya menteri-menteri PH janganlah buat seperti apa yang dibuat menteri-menteri BN-Umno.

Yang lucunya sekarang dalam mempertahankan perkara ini Mohamad Sabu mengikut laporan Malaysiakini berkata mereka hanya menjadi pengerusi kepada organisasi itu tetapi di dalam organisasi itu ada pakar-pakar yang menjawat jawatan secara tetap bagi organisasi ini. Kata Mohamad, yang penting pengerusi ini ada penglibatan dalam masyarakat.



 

Pelik kenyataan ini. Bukankah selama ini PH mempertikaikan tentang pemimpin-pemimpin politik yang tidak mempunyai kepakaran dan kelayakan tetapi menjadi ketua kepada organisasi-organisasi ini?

Lalu sekarang PH bagi rasional mengapa mereka lantik juga. Rasional itu pula adalah sama dengan rasional mana-mana parti politik yang memang mahu mengamalkan cara ini. Kalau itulah rasionalnya, sepatutnya dari awal lagi PH tak perlu perjuangkan ‘tiada lantikan politik’ ini.

Lebih teruk lagi mereka cuba mengaitkan bahawa PN juga melakukan perkara yang sama. Eh?! Yang pegang prinsip tiada lantikan politik PH. PN tidak pegang begitu. Bila PH langgar, maka PN cuma bertanya mengapa langgar sahaja.

 


Sebuah page pro-PHUMDAP yang kononnya menyindir kerajaan PN dahulu pun meletakkan ahli politik di badan berkanun.

 

PN tidak ada masalah dengan lantikan politik kerana itu memang prinsip demokrasi ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’. Parti yang menang akan melantik pemimpinnya yang datang dari rakyat untuk mengetuai agensi-agensi kerajaan.

Sebenarnya apa yang berlaku ialah PH bersikap terlalu ideal dan melulu terhadap sesuatu isu sedangkan apa yang mereka fikirkan sebagai solusi itu sebenarnya nampak mulia tetapi tidak praktikal.

Mungkin bila dah jadi kerajaan baru terasa rugi jika tidak ambil peluang ini untuk habuan rakan-rakan yang masih ‘menganggur’.

Bersoal jawab dengan PH-BN bila kita mempertikaikan apa yang mereka buat mengingatkan kita pada sajak Dinsman. Bagaikan berhujah dengan orang gila. Pening!

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 19-21 Mei 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH