Oleh IBNU JANIE
SEKITAR tahun 2019 selepas Umno-BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 maka mereka pun bermuafakat dengan PAS dalam gerakan yang dipanggil Muafakat Nasional (MN).
Majlis menandatangani muafakat itu telah berlangsung di Dewan Merdeka, WTC pada 14 September 2019. Ia adalah satu majlis yang bersejarah dan disambut oleh ahli-ahli PAS dan Umno dengan linangan air mata selepas puluhan tahun berseteru.
Namun akibat daripada sikap tamak dan keterlaluan berasa syak wasangka dengan PAS dan Bersatu akhirnya Umno-BN bertanding solo pada PRU15 kononnya untuk menang bersendirian. Selepas kalah teruk dan hanya mendapat 30 kerusi Umno-BN akhirnya berpakat dengan PH-DAP menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Dan pada 14 Mei baru-baru ini berlangsunglah Konvensyen Kerajaan Perpaduan di lokasi yang sama MN ditandatangani. Tetapi pada kali ini Umno-BN bermuafakat pula dengan PH-DAP. Hakikatnya konvensyen ini telah mewujudkan dua kumpulan iaitu kumpulan yang makan diri dan kumpulan yang makan hati.
Yang makan diri ialah semua pemimpin-pemimpin hipokrit PH-BN yang selama ini memperjuangkan perjuangan masing-masing yang kononnya berbeza bagai langit dan bumi, namun hakikatnya semua itu hanyalah ‘scam’ terhadap rakyat demi mendapatkan undi.
Pemimpin-pemimpin PH-DAP terpaksa mengkhianati perjuangan mereka sendiri yang kononnya selama ini menentang kleptokrasi dan rasuah dengan bergabung dengan Umno-BN demi kuasa.
Pemimpin-pemimpin Umno-BN pula terpaksa mengkhianati perjuangan ‘No Anwar-No DAP’ yang mereka perjuangkan selama ini semata-mata kerana mahu berpaut dengan kuasa. Umno-BN sebenarnya boleh berpakat dengan PN membentuk kerajaan dominasi Melayu tetapi mereka lebih berselera dengan DAP.
Kita masih ingat lagi ketika Kerajaan PH-BN baru ditubuhkan dahulu masing-masing di pihak PH atau BN dan rakyat masing-masing terkejut apabila dua parti yang bertelagah besar sesama mereka semasa kempen PRU15 tiba-tiba bersama membentuk kerajaan selepas beberapa hari keputusan diumumkan.
Masa itu penyokong-penyokong PH mengamuk kepada pimpinan mereka kerana keputusan ini. Penyokong BN ada yang mengamuk tetapi tidak ramai kerana yang penting dapat jadi kerajaan, jangan jadi pembangkang.
Pada masa itu PH meredakan kemarahan penyokong-penyokong mereka dengan mengatakan bahawa mereka terpaksa berpakat dengan Umno atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa itu pemimpin-pemimpin PH masih berlakon lagi kononnya mereka benar-benar terpaksa menerima Umno. Pada masa itu mereka masih menyatakan kebencian kepada Umno dan mengulangi komitmen bakal menghantar pemimpin-pemimpin Umno yang bermasalah ke penjara seperti yang dijanjikan dalam kempen PRU15 walau pun membentuk kerajaan bersama.
Akhirnya pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan ini pemimpin-pemimpin PH dan BN memakan diri dengan mengesahkan bahawa perhubungan mereka selama ini bukan perkahwinan paksa tetapi suka sama suka dan telah dirancang dari awal.
Yang makan hati adalah ahli-ahli Umno tulen yang selama ini benar-benar memperjuangkan Melayu. Mereka ini adalah golongan yang berasa amat terhina dengan tindakan pemimpin mereka mempersilakan golongan yang sebelum ini amat memusuhi mereka masuk ke rumah tangga mereka sendiri.
Janganlah hendak menipu ahli-ahli Umno dengan ungkapan bahawa DAP sudah berubah dan bukan DAP yang dahulu. Cuba tanya pada DAP adakah mereka sudah pun meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia mereka? Cuba tanya.
Sudah pastilah dalam perhimpunan itu tidak ada laungan ‘Hidup Melayu’ yang menjadi seruan ikonik Umno selama ini dan nyanyian lagu ‘Anak Kecil Main Api’ kerana di dalamnya ada PKR, PAN dan DAP yang tidak gemar dengan perjuangan berasaskan bangsa.
Tidak lupa juga yang makan hati ialah penyokong-penyokong PH yang selama ini ikhlas berjuang menentang rasuah dan kleptokrasi yang tidak senang dengan persekongkolan PH-DAP dengan Umno-BN yang bermasalah.
Penyokong-penyokong Umno dan PH yang makan hati sudah boleh bersama dengan pemimpin-pemimpin mereka yang lain dengan meninggalkan Umno dan PH dan menjadikan PN sebagai wadah baharu politik mereka.
Kepada pemimpin-pemimpin PH-BN yang makan diri bersedia untuk ditolak oleh rakyat dalam PRN yang hampir dan seterusnya pada PRU16 yang akan datang kerana hipokrasi perjuangan kamu selama ini telah pun terdedah luas.
Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 19-21 Mei 2023
Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.
Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.
Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.
Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.
Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.
JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH