Home Minda Presiden

Peristiwa Nakbah: Umat Islam dan Arab wajib bersatu bersama Palestin

142
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 39 / 2023]
PERISTIWA NAKBAH: UMAT ISLAM DAN ARAB WAJIB BERSATU BERSAMA PALESTIN


Memperingati 75 tahun peristiwa Nakbah, jenama bencana yang menimpa Palestin ini wajib ditanggung bersama dosanya oleh umat Islam, bukan sahaja ditanggung oleh penduduk Palestin dan Arab di sekelilingnya yang berdiam diri. Palestin dirompak oleh Zionis dengan bantuan negara-negara penjajah yang dilaksanakan secara berperingkat selepas kejatuhan Turki ‘Uthmaniyyah, kuasa besar Islam.

Kaum Yahudi Zionis dibawa masuk, rakyat Palestin dihalau, serta rumah kediaman dan harta mereka dirompak dengan keizinan masyarakat antarabangsa bagi menubuhkan negara haram bernama Israel. Namun, rakyat Palestin tidak menyerah kalah dan terus berjuang sehingga hari ini.

Kedudukan bumi Palestin yang menjadi milik Islam ialah ketetapan Allah SWT, malah menjadi kewajipan bagi penduduknya dan jirannya untuk mempertahankannya. Penduduk Palestin yang telah bermukim sejak beberapa abad adalah daripada kaum asal Arab yang menganut Islam dan berbahasa Arab. Penduduk Palestin juga terdiri daripada asal bangsa lain seperti Yahudi, Kristian, dan lain-lain yang memeluk Islam dan berbahasa Arab, termasuk kalangan minoriti yang bukan Islam.

Hubungan Palestin dengan Islam dimakmurkan oleh bapa para anbiya’ AS, iaitu Nabi Ibrahim AS selepas diperintahkan Allah SWT agar berhijrah ke sana. Termasuklah para anbiya’ daripada kalangan Bani Isra’il dan Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Ramai dalam kalangan nabi dan rasul berada di Palestin dan dimakamkan di bumi suci itu.

Ibrahim AS ialah penganut Islam yang kemudiannya diisytiharkan menjadi agama kepada semua anbiya’. Adapun agama lain yang dinamakan kemudiannya kepada nabi-nabi tertentu adalah suatu bentuk penyelewengan dan pembohongan. Allah SWT mengulangi beberapa kali ayat-Nya dalam al-Quran bahawa umat Islam wajib beriman kepada firman-Nya yang wajib bersifat benar, antaranya:

﴿قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥﴾

“Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya (Allah) kami menyerahkan diri (Islam).’ (84) Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85)” (Surah Ali ‘Imran: 84–85)

Maka, Palestin ialah bumi Islam pilihan Allah, diletakkan sebagai kiblat pertama sebelum Kaabah, serta menjadi tempat perjalanan Isra’ dan bermulanya Mi‘raj bagi Nabi akhir zaman Rasulullah SAW yang menjadi tetamu Allah. Di Palestin juga, roh para rasul dikumpulkan dan mereka bersama-sama sembahyang berjemaah dengan diimami oleh Rasulullah SAW, apabila kedatangannya sebagai Nabi akhir zaman dikhabarkan dalam semua kitab suci oleh para rasul terdahulu.

Selain itu, Allah SWT juga telah mengadakan perjanjian dengan nabi-nabi terdahulu supaya umatnya bersama dengan Nabi akhir zaman. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٨٢﴾

“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi, ‘Sungguh, apa sahaja yang Aku berikan kepada kamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepada kamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada pada kamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman, ‘Kalau begitu, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81) Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)” (Surah Ali ‘Imran: 81–82)

Zuriat Nabi Ya‘qub AS pernah berhijrah ke Mesir bersama Nabi Yusuf AS sehingga lahirnya rumpun bangsa Bani Isra’il atau Yahudi di sana. Selepas mereka diselamatkan Allah SWT daripada kezaliman Firaun dengan keluar dari Mesir, Allah memerintahkan Nabi Musa dan Harun AS untuk membawa kaum Bani Isra’il supaya membebaskan Palestin daripada kaum Jabbarin, atas nama jihad menegakkan agama Allah (Islam) dengan melaksanakan Kitab Allah (Taurat).

Namun begitu, mereka enggan berjihad, lalu Allah menyesatkan mereka selama 40 tahun sehingga melahirkan generasi baharu selepas kewafatan Rasul-Nya, Musa AS dan Harun AS. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٦﴾

“Mereka berkata, ‘Wahai Musa! Kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya. Oleh kerana itu, pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya, kami hanya duduk menanti di sini saja.’ (24) Berkata Musa, ‘Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25) Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya, negeri itu diharamkan atas mereka selama 40 tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang pasir) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” (Surah al-Ma’idah: 24–26)

Apabila Bani Isra’il diberikan kejayaan memasuki Palestin, kemudian memerintah negara dengan melaksanakan Kitab Allah (Taurat) bersama para rasul selepasnya berserta para ulama’ dan umara’ (raja-raja) yang adil, mereka bertahan di bumi berkat itu. Namun, apabila mereka bersikap jahat, zalim, dan sesat, mereka dihalau darinya.

Nabi Dawud AS berjaya membebaskan Palestin bersama Raja Talut dan menjadi khalifah menegakkan kerajaan Islam yang beramal dengan Kitab Allah. Seterusnya, Baginda diikuti oleh puteranya Nabi Sulaiman AS menjadi raja yang memerintah kerajaan yang paling berkuasa dan tiada bandingannya dalam seluruh sejarah manusia.

Hal ini bermakna, Islam mengiktiraf kerajaan yang diketuai oleh pemimpin yang bernama khalifah, imam, raja, presiden, dan sebagainya. Dengan syarat, pemerintahannya hendaklah adil bersama Kitab Allah ajaran Rasul-Nya.

Justeru, selepas itu, Bani Isra’il dihalau dari Palestin kerana sudah tidak layak memerintah Palestin akibat menjadi kaum yang paling sesat dan melampau. Firman Allah SWT:

﴿…وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾

“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 61)

Firman Allah SWT lagi:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١ أُولَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ٢٢﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan serta membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21) Mereka itu ialah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amal mereka di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” (Surah Ali ‘Imran: 21–22)

Pada akhir zaman, Bani Isra’il dihalau lagi dengan kali terakhir, Palestin dijajah oleh Rom, kuasa besar dunia pada zaman itu. Allah SWT menjanjikan kemenangan dengan kedatangan Nabi akhir zaman selepas Nabi ‘Isa AS sebagaimana yang telah dijanjikan dalam Kitab Taurat, Injil, dan al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُوٓاْ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ لِلۡحَوَارِيِّ‍ۧنَ مَنۡ أَنصَارِيٓ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِۖ فَ‍َٔامَنَت طَّآئِفَةٞ مِّنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ وَكَفَرَت طَّآئِفَةٞۖ فَأَيَّدۡنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَىٰ عَدُوِّهِمۡ فَأَصۡبَحُواْ ظَٰهِرِينَ١٤﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana ‘Isa ibn Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia, ‘Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?’ Pengikut-pengikut yang setia itu berkata, ‘Kamilah penolong-penolong agama Allah.’ Lalu segolongan daripada Bani Isra’il beriman dan segolongan yang lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.” (Surah al-Saff: 14)

Kemenangan besar dicapai selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW yang telah dijanjikan sebelum itu. Sebahagian kecil Bani Isra’il dan pengikut Nabi ‘Isa memeluk Islam lalu bersama membebaskan Palestin daripada penjajahan Rom pada masa pemerintahan Khalifah ‘Umar RA.

Apa yang menarik ialah apabila Paderi Besar Bait al-Maqdis mensyaratkan Khalifah ‘Umar RA menerima penyerahannya semasa pembukaan Bait al-Maqdis, dan dimeteraikan perjanjian terkenal yang membenarkan kewujudan masyarakat majmuk yang diberikan hak beragama tanpa paksaan. Peristiwa ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

“…Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj: 40)

Kenyataan al-Quran adalah benar bahawa hanya Islam dan penganutnya sahaja yang mampu menjadi pemimpin masyarakat majmuk. Ternyata, apabila kaum Yahudi, Kristian, atau Musyrikin mentadbir Palestin, mereka melakukan kezaliman terhadap kaum dan penganut agama yang lain.

Kini, kaum Yahudi Zionis yang melampau keagamaan dan kebangsaannya telah menubuhkan negara Israel dengan sokongan kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dan sebahagian negara Eropah, disertai oleh beberapa negara umat Islam dan Arab yang berada di bawah pengaruh Zionis apabila mereka mengiktiraf negara haram Israel atau melakukan normalisasi dengannya. Sedangkan, penduduk asal Palestin dihalau keluar, dibunuh, atau diseksa, malah dirampas kediaman, perniagaan, dan kebun yang dimiliki sejak zaman-berzaman.

Apa yang luar biasa ialah negara penganut Kristian seperti Amerika Syarikat dan Eropah mendukung negara haram Israel kerana pengaruh Zionis mengatasi kepercayaan agama mereka. Mereka percaya bahawa Nabi ‘Isa AS yang disucikan kepada martabat tuhan, telah disalib dan dibunuh oleh kaum Yahudi yang zalim. Akan tetapi, anehnya mereka pula yang membantu Yahudi dengan sokongan politik, ekonomi, ketenteraan, media, dan lain-lain yang melampau.

Sehinggakan, mereka bertindak menghalang pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan cabangnya daripada bertindak ke atas apa sahaja kekejaman dan kezaliman yang melampau dengan bantuan segala senjata, termasuk senjata pemusnah yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa. Pada masa yang sama, mereka berlagak menjadi pendamai yang berkecuali atas nama kemanusiaan dan penyelesaian dua negara (two-state solution); satu pembohongan yang terang lagi bersuluh.

Adapun penduduknya ialah rakyat asal Palestin yang telah menganut Islam dan majoriti kecil masih beragama Kristian, namun pengaruh Islam dan percampuran menjadikan mereka berbangsa Arab. Mereka bermukim dan paling berhak menjaga Palestin serta mempertahankannya mengikut hukum fardu ‘ain, bersama negara jiran dan penduduknya serta bersama negara Islam.

Sangat tidak munasabah sikap beberapa negara Islam dan Arab yang mengikuti telunjuk Zionis dan berkecuali dengan memejam mata terhadap kezaliman dan kekejaman yang paling melampau terhadap rakyat Palestin. Hal ini berbeza dengan sikap majoriti rakyat umat Islam yang masih ada kemanisan iman dan persaudaraan Islam, sebagaimana hadis yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، ‌إِذَا ‌اشْتَكَى ‌مِنْهُ ‌عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.

“Perumpamaan hubungan dalam kalangan orang-orang yang beriman itu dari segi berkasih sayang, bersimpati, dan bertimbang rasa laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh jasadnya berjaga malam dan demam.” (Riwayat al-Bukhari No. 6011 dan Muslim No. 2586)

Ada pula kalangan negara Arab dan Islam yang menjadi pendamai bersama lakonan negara Barat yang nyata pengaruh Zionisnya. Sebenarnya, mereka bersama menjadi pendamai bagi menyelamatkan Israel yang terdesak akibat serangan balas terakhir pejuang Palestin di luar jangkaan mereka, lantas terdedahnya kelemahan Yahudi Zionis yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran:

﴿لَأَنتُمۡ أَشَدُّ رَهۡبَةٗ فِي صُدُورِهِم مِّنَ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَفۡقَهُونَ١٣ لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ١٤﴾

“Sesungguhnya, kamu dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah. Hal yang demikian itu kerana sesungguhnya, mereka ialah kaum yang tidak mengerti. (13) Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali di dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kalian kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Hal yang demikian itu kerana sesungguhnya, mereka ialah kaum yang tidak mengerti. (14)” (Surah al-Hashr: 13–14)

Dahulu, mereka membina tembok-tembok bagi memenjara rakyat Palestin, tetapi kini bertukar menjadi tembok-tembok tempat mereka berlindung pula. Mereka juga banyak membina kubu bawah tanah di semua penempatan kaum Yahudi yang berselerak di kawasan bandar. Penempatan pendatang baharu Yahudi ditempatkan di kawasan rumah dan kebun rakyat Palestin yang dirompak secara terbuka, namun ditentang oleh rakyat Palestin dengan gagah berani.

Kini, rakyat Palestin bangkit dan bergabung bersama kumpulan Islam yang besar. Mereka berada di dalam kawasan Palestin atau negara sekelilingnya atas nama Hamas, Jihad Islami, dan Hizbullah, diikuti pula oleh semua kumpulan yang lain tanpa mengira ideologi politik, mazhab, mahupun agama melalui tindakan jihad atas nama ‘muqawamah’ (perjuangan). Keadaan ini menepati janji Rasulullah SAW pada akhir zaman:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌عَلَى ‌الدِّينِ ‌ظَاهِرِينَ، ‌لَعَدُوِّهِمْ ‌قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Masih ada dalam kalangan umatku kumpulan yang bangkit menegakkan agama (Islam) secara berterangan, menghadapi musuh dalam keadaan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan oleh kalangan yang mengecewakan mereka melainkan mereka menghadapi kesulitan namun mereka bertahan, sehingga datangnya keputusan Allah (kemenangan) dalam keadaan mereka tidak berganjak.”

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?”

قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

Sabda Rasulullah SAW, “Mereka berada di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” (Riwayat Ahmad No. 22320)

Kini, kita menyaksikan kemunculan kumpulan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW yang wajib bersifat benar daripada Allah SWT. Apakah pula pendirian umat Islam?

Kalangan majoriti rakyat umat Islam dan beberapa negaranya adalah bersama rakyat Palestin. Akan tetapi, ada juga yang mengecewakan, bahkan ada yang bersekongkol dengan musuh dalam pasukan Ahzab moden.

Ada juga kalangan kaum Ortodoks Yahudi bermazhab Neturei Karta mengharamkan penubuhan negara Israel. Hal ini demikian kerana, kepercayaan mereka bahawa mendirikan negara untuk bangsa Yahudi itu bakal menjadi kubur yang menamatkan ajal kaum mereka yang pernah bersikap sangat zalim terhadap para anbiya’ dan ulama’ yang soleh.

Maka, di mana wajahnya negara umat Islam dan Arab yang menerima kewujudan negara haram Israel?

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 27 Syawwal 1444 / 18 Mei 2023