Saya telah membangkitkan persoalan mengenai dasar baharu kos Bantuan Kewangan Haji yang dikategorikan berdasarkan garisan pendapatan B40, M40 dan T20.
Pelbagai keluhan daripada rakyat yang memohon Kerajaan merundingkan semula mekanisme kos Bantuan Kewangan Haji ini sekurang-kurangnya mempertimbangkan komitmen serta tanggungan golongan tertentu.
Malah, dalam konteks ini, golongan yang membuat rayuan haji juga perlu membuat bayaran penuh kecuali bagi mahram dan pembantu haji.
Meskipun memahami peningkatan kos pengurusan haji sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun Kerajaan sewajarnya mempertimbangkan mengenai mekanisme baru ini supaya tidak bersifat drastik dan mempunyai suatu tempoh perlaksanaan tertentu sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.
Sebagai jalan keluar sementara, saya mencadangkan beberapa perkara;
Pertama, Kerajaan perlu fleksibel terhadap perlaksanaan dasar baharu kos Bantuan Kewangan Haji serta terbuka untuk menangani kes kepada kes.
Kedua, Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan-cadangan alternatif seperti pengurangan hari perlaksanaan Haji bagi mengurangkan kos tanggungan individu.
Ketiga, Kerajaan perlu mengambil kira implikasi sampingan terhadap pelaburan serta kedudukan pendeposit semasa setelah Kerajaan melancarkan kos Bantuan Kewangan Haji yang baru.
Ahmad bin Yahaya,
Ahli Parlimen Pokok Sena.