oleh: NOR FATIN
ALOR SETAR – Masalah air yang berlaku di beberapa kawasan di Kedah pasti membimbangkan dan menyukarkan urusan seharian penduduk di kawasan tersebut.
Aduan demi aduan sudah dilakukan oleh pelbagai peringkat mahupun rakyat sendiri. Namun isu ketiadaan air masih belum selesai! Masalah yang berlaku di beberapa tempat bukannya sehari dua sahaja baru berlaku tetapi sudah memakan masa bertahun-tahun.
Manakala bagi sesetengah tempat pula, isu ketiadaan air akan timbul apabila datang sahaja musim kemarau!
Alhamdulillah semalam menerusi facebook Zulkifli Yahaya, Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah menyatakan bahawa sekarang SADA sedang sibuk melakukan sambungan kerja-kerja paip jacking siang dan malam. Beliau juga menyatakan rasa syukur apabila rumah pam sudah siap dibina.
Dalam masa yang sama, SADA juga akan menghantar bekalan ke mana sahaja yang mengalami masalah air. Manakala bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah ketiadaan air ini, satu pelan jangka panjang untuk pembesaran 5 logi rawatan air utama di Kedah sedang dalam pembinaan.
Di antara tempat yang terkesan dengan masalah air ini juga ialah Tanjung Dawai. YB, Ustaz Hanif Ghazali Hanif, ADUN Tanjung Dawai mengambil inisiatif dengan mengorek 50 telaga boring dan melakukan penghantaran bekalan air rumah ke rumah.
Seperti yang kita tahu juga, beberapa tempat di DUN Pengkalan Kundor turut mengalami masalah air yang kritikal. Baru-baru ini Pegawai SADA, En Anas Aidi bersama Pegawai Teknikal En Sofiyuddin turun ke lapagan susulan daripada aduan yang dikemukakan kepada pihak SADA berkaitan dengan masalah air dibeberapa lokaliti di Pengkalan Kundur.
Mereka memberikan penjelasan kepada wakil penduduk berkaitan dengan perkara teknikal yang dihadapi dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masa terdekat.
Selain itu, pegawai berkenaan menjelaskan tentang pemasangan rumah pam pada simpang ke Kg Telok Bagan yang akan menyelesaikan masalah tekanan air ke Kg Tebengau Tepi Laut dan Kg Alor Ibus Tepi Laut.
Sebelum ini juga, apabila kerap mendapat aduan, YB Dr. Ahmad Fakhruddin, Parlimen Kuala Kedah telah bergegas ke SADA ekoran aduan gangguan bekalan air. Boleh baca penuh di link berikut:
https://berita.pas.org.my/wakil-rakyat-bergegas-ke-sada-ekoran-aduan-gangguan-bekalan-air/
Kita dapat lihat sekarang, usaha untuk mengatasi masalah air di beberapa tempat sudah giat dijalankan oleh SADA dan juga dari kalangan ADUN dan Ahli Parlimen. Tiada istilah hanya duduk saja! Namun kita faham kesusahan rakyat apabila menghadapi gangguan bekalan air, pasti ada yang tidak selesa dan megalami beberapa kesukaran yang menyebabkan penduduk mahu masalah ini agar segera diselesaikan. Oleh itu sebarang idea dan kesabaran dari semua pihak amat diperlukan. Kita harapkan dan doakan supaya masalah gangguan air ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.