Home Berita PAS Kedah

Sejarah penubuhan PAS Kulim Bandar Baharu (KBB) dan pengorbanan tokoh awal PAS KBB

147
SHARE

Pada tahun 1984, Daerah Gunung Semanggul dalam kawasan Bagan Serai telah menjadi tempat penubuhan Hizbul Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Di kawasan inilah bermulanya perkembangan fikrah di kalangan masyarakat Islam untuk mencapai kemerdekaan dengan perjuangan yang bertunjangkan Islam. Islam mula dipupuk dalam konteks badan dakwah dan siasah di sini.

Pada sekitar awal tahun 50-an di sebelah Seberang Perai telah menjadi pusat perkembangan Ilmu Agama dengan wujudnya pelbagai pondok dan sekolah agama seperti Sekolah Agama al-Irsyad dan Madrasah al-Mashriah. Di sekolah-sekolah inilah telah djadikan tapak bagi beberapa tokoh menggerakkan kefahaman perjuangan menegakkan Negara Islam. Antara tokoh awal PAS dan juga ilmuan yang disegani ketika itu ialah Ustaz Ahmad Azam yang mengajar di Sekolah Agama al-Irsyad dan Ustaz Hj Ahmad Fuad Hasan dari Madrasah al-Mashriyah.

Dengan diapit oleh kedua-dua pengaruh yang kuat tersebut dari sebelah selatan iaitu Gunung Semanggul dan dari barat, Seberang Perai, kira-kira seramai 10-15 orang pecinta Islam di kalangan penduduk Kulim Bandar Baharu berjaya dikumpulkan. Kumpulan inilah yang mula menggerakkan kempen mencari ahli PAS. Akhirnya, kurang satu tahun daripada penubuhan PAS Pusat di Butterworth, PAS Kulim Bandar Baharu telah dirasmikan penubuhannya pada tahun 1952. Perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Ahmad Azam bertempat di Sekolah Agama Ijtihad al-Wataniah, Bukit Aping dan Ustaz Hj Ghazali bin Haji Mohamad telah dipilih mengetahui PAS Kedah Selatan (nama lama Kawasan Kulim Bandar Baharu). Sebenarnya, PAS yang ditubuhkan itu merupakan cawangan (kawasan) yang ke-dua di dalam Negeri Kedah selepas Cawangan Bukit Besar yang dipimpin oleh Ustaz Osman Al-Yunussi.

Perlu diketahui bahawa PAS KBB sebenarnya mula bertapak dan berkembang di pekan kecil Lubuk Buntar atau Bukit Aping dalam Daerah Baharu seawal 1952 lagi. Di pekan inilah, telah lahirnya banyak tokoh-tokoh awal PAS Kulim Bandar Baharu. Mereka ialah Ustaz Haji Ghazali bin Haji Mohamad, Ustaz Awang bin Hashim, Haji Salleh bin Haji Mohamad, Haji Mohd Rejab bin Awang Kecil dan Haji Abdul Hamid bin Ahmad. Di sekitar pekan itu juga, Markas PAS KBB berpindah-randah selama lebih 30 tahun.

Ahli PAS yang ketika awal bermula cuma 15 pencinta Islam, kini bilangan ahli PAS KBB telah bertambah ke angka belasan ribu. Tiada angka sebenar yang dicatatkan, namun itulah yang dapat digambarkan oleh orang-orang lama PAS dan juga yang terlibat dengan kerja-kerJ kesetiausahaan PAS KBB. Pertambahan yang begitu ketara adalah selepas pilihanraya Umum ke-19, 1995 yang lalu.

Di awal penubuhan, PAS KBB yang dalam keadaan serba kekurangan, rumah pimpinan telah dijadikan sebagai Markas PAS bagi memusatkan aktiviti PAS KBB serta merancang gerakan menyampaikan mesej PAS ke seluruh kawasan. Ketabahan isteri para pemimpin terdahulu dalam menyediakan kelengkapan tempat dan juadah kepada ahli mesyuarat tanpa mengira waktu juga patut diberi penghargaan. Berikut adalah jejak-jejak perpindahan Markas PAS KBB:

 

BIL TAHUN TEMPAT
1 1952-1963 Rumah Ustaz Haji Ghazali bin Haji Mohd
2 1963-1965 Rumah Ustaz Awang bin Hashim
3 1965-1980 No 14 Pekan Lubuk Buntar (15 tahun)
4 1980-1985 Rumah Ustaz Haji Ghazali Mohd
5 1985-1989 Kg Sungai Hitam Selama
6 1989-2001 Rumah Pak Long Jaafar
7 2002-sekarang (2023) Pekan Serdang

Markas PAS di Kg Sungai Hitam Selama adalah berdiri di atas tanah milik PAS KBB sendiri. Tanah seluas suku relong itu telah diwakafkan oleh Haji Johari bin Samad di sekitar tahun 70-an. Ia merupakan satu-satunya tanah milik PAS KBB sehingga tahun 1988 iaitu sebelum PAS KBB memiliki tanah berhampiran Terap yang mana dicadangkan untuk dijadikan Pusat Pendidikan Dar at-Taqwa anjuran Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan PAS KBB.

Pada tahun 2001, PAS KBB telah mengambil langkah serius dengan membentuk Lajnah Bangunan untuk membangunkan sebuah bangunan sendiri yang akan dijadikan sebagai Markas PAS KBB. Hal ini adalah disebabkan ada perwakilah di Mesyuarat Agung PAS KBB pada tahun 2001 yang melahirkan rasa dan nada kecewa bilamana PAS KBB yang sudah hampir 50 tahun ketika itu, tidak mempunyai markas sendiri, hanya menumpang di rumah orang sahaja.

Atas desakan yang kuat, para perwakilan telah meluluskan usul untuk meletakkan agenda pembangunan markas sebagai yang terpenting dan perlu disegerakan. Derma kilat dan derma janji pada hari tersebut telah mencapai angka melebihi RM30,000. Tapak yang dicadangkan adalah berhampiran Pekan Serdang dan sehingga kini ia masih teguh berdiri dan telah diperelokkan dari masa ke masa.

Markas PAS Kulim Bandar Baru berwajah baharu
Markas PAS Kulim Bandar Baharu dahulu sebelum dicat baharu

RUJUKAN: BUKU 50 TAHUN PENUBUHAN PAS KULIM

Sejarah ini akan ditambah dari masa ke masa