Oleh: Nor Fatin
ALOR SETAR, 6 FEBRUARI – Pelan tindakan banjir jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Karangan, Kedah setelah mengambil kira beberapa punca masalah banjir yang berlaku.
Hasil tinjauan bersama daripada Pengarah ADUN Pusat Khidmat Dun Merbau Pulas, Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulim, wakil Pejabat Daerah serta Penghulu Mukim Sidam Kanan dan Mukim Padang Meiha, beberapa punca banjir di sekitar Pondok Islahiah Tuan Guru Haji Adnan, hadapan Balai Polis Sungai Karangan Serta Kampung Manggis kini dapat dikenalpasti.
Punca banjir yang sering melanda di sekitar Pondok Islahiah dan hadapan Balai Polis Sungai Karangan adalah disebabkan masalah longkang yang tersumbat. Hal ini mengakibatkan aliran air terkepung serta melimpah membanjiri kawasan sekitar dan memenuhi parit-parit di Taman Kenangan seterusnya ke kawasan Pondok Islahiah.
Sebagai inisiatif jangka pendek, JKR Kulim akan memastikan longkang tersebut diselenggara dan kerja kerja pembersihan parit-parit di pondok tersebut akan dijalankan oleh JPS Kulim.
Dalam masa yang sama satu permohonan telah pun dimajukan oleh JKR Daerah untuk mengubahsuai struktur longkang tersebut. Permohonan ini akan melibatkan satu dana persekutuan yang besar. Oleh hal demikian, kertas kerja yang lengkap sudah dipohon oleh pihak JKR Kulim pada November 2021 dan kini sedang menunggu kelulusan.
Manakala isu banjir di Kampung Manggis pula, JPS Kulim mengambil langkah untuk meluruskan sungai tersebut agar aliran sungai lebih lancar sekaligus dapat mengurangkan risiko banjir di kampung tersebut.