Oleh IBNU JANIE
TINDAKAN Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil menyekat dan menurunkan ribuan video Tiktok yang dikatakan mempunyai unsur-unsur menghasut dan akan memantau rapat hantaran media sosial memberikan riak-riak bahawa parti kerajaan hari ini bakal bertindak secara kuku besi terhadap penentang mereka.
Walau pun dalam masa yang sama beliau berkata bahawa tindakan ini bukan bermaksud untuk menyekat kebebasan bersuara, sekadar hanya untuk menyekat konten berunsur provokatif, namun kita semua tahu ini hanya ayat berlapik untuk melunakkan tindakan kerajaan sekarang.
Tidak ada mana-mana parti kerajaan pun dalam dunia ini yang menggunakan kuasa mereka sebagai kerajaan terhadap parti pembangkang dengan alasan mereka memang mahu menekan pembangkang yang menentang parti mereka. Semuanya berlapikkan alasan yang lurus dan murni.
Tiktok menjadi sasaran sekarang kerana peranan besar Tiktok dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang telah mempengaruhi anak muda sehingga kebanyakan mereka memilih Perikatan Nasional (PN). Ini yang menimbulkan kemarahan Anwar dan PH-BN.
Daripada rungutan pemain-pemain Tik-tok yang terlibat, video-video yang menyindir PH-BN banyak yang sudah diturunkan sendiri oleh Tik-tok. Ia bukan sangat video menghasut, menyentuh soal perkauman atau menyentuh isu Raja-Raja Melayu pun.
Kerajaan PH-BN juga perlu sedar diri dan sedar ruang bahawa mereka baru sahaja membuat penipuan terbesar dalam kempen PRU-15 yang mana PH menjanjikan untuk menghantar ‘penyamun’ BN ke penjara sementara BN pula berikrar untuk tidak bersekongkol dengan PH-DAP apatah lagi untuk sama-sama membentuk kerajaan.
Tiba-tiba selepas keputusan diumumkan, tanpa dipaksa mereka berjodoh pula. Siapa yang tidak pelik? Semua rakyat rasa pelik. Pengundi kedua-dua parti PH dan BN terpinga-pinga kebingungan melihat apa yang terjadi.
Lalu wajarlah untuk rakyat bersuara agar kebingungan yang mereka alami itu tidak menjadikan mereka bengong dan sasau pula. Pengundi-pengundi PH dan BN ini juga berhak untuk mengecam tindakan penipuan hidup-hidup yang dilakukan oleh pemimpin mereka sendiri ini melalui media sosial.
Rencana ini disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak bertarikh 16 Disember 2022 |
Kerajaan campuran PH-BN juga harus ingat bahawa ini adalah era abad ke-21, alaf ketiga. Kita telah meninggalkan era lama zaman pemerintahan kuku besi BN dahulu. Zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir sebelum bersara pada 2003.
Pada zaman itu kerajaan boleh menyekat kebebasan bersuara rakyat kerana pada masa itu rakyat masih berada dalam cengkaman BN yang membodohkan mereka. Berjayanya BN membodohkan rakyat ketika itu sehinggakan rakyat sendiri rasa bahawa mereka tidak wajar bersuara.
Seingat penulis zaman-zaman terakhir suara rakyat benar-benar disekat ialah pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi. Selepas daripada itu kerajaan sudah tidak lagi menyekat rakyat daripada bersuara.
Selepas era Tun Abdullah pada tahun 2009 itu pun bukanlah kerana kerajaan berubah sikap dan polisi dalam menyekat kebebasan rakyat bersuara tetapi kerana pada masa itu teknologi komunikasi digital semakin meluas menyebabkan amat sukar untuk kerajaan membendungnya.
Penulis menjangkakan bahawa kerajaan mungkin akan bersandar satu premis umum lalu mereka menggunakannya untuk satu kesimpulan yang spesifik.
Sebagai contoh yang sedang berlaku sekarang apabila kita mempertikaikan pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri maka pemimpin-pemimpin atau penyokong-penyokong PH-BN akan mempersoalkan mengapa mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong? Ini banyak berlaku di media sosial.
Penulis pun bingung, adakah pelantikan.Zahid sebagai TPM itu memang titah daripada Yang di-Pertuan Agong dan Anwar terpaksa menerimanya? Atau ia memang telah dirancang lebih awal dan Yang di-Pertuan Agong hanya melantik berdasarkan cadangan oleh Anwar?
Jika itu formulanya maka mudahlah. Mengkritik menteri kabinet bererti mengkritik kerajaan, mengkritik kerajaan bererti mengkritik Yang di-Pertuan Agong, maka hantaran tersebut berunsur hasutan.
Wah! Senang banyak! Semua disandarkan pada Yang di-Pertuan Agong untuk dijadikan perisai! Jadi sebuah kerajaan yang tidak boleh dikritik langsung!
Jangan ingat rakyat bodoh seperti di era Mahathir dahulu. Rakyat terutama anak muda sudah cerdik. Jangan perbodohkan generasi baru yang bakal menjadi pemimpin masa depan.
Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat-Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.
Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.
Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.
Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.
Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.
Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.
JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH