EKSTREMIS vs ISLAMOPHOBIA:LEMPAR BATU SEMBUNYI TANGAN
1. PAS Negeri Perak menentang sekerasnya usaha jahat DAP dan sekutu Pakatan Harapan yang tidak serik melontarkan fitnah dan naratif buruk kepada PAS dengan label ‘Ekstremis’.
2. Kedengkian mereka dengan kemaraan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang berjaya menjadi parti yang unggul dengan menambah bilangan kerusi paling banyak didalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri-Negeri diterjemahkan dengan fitnah kotor dan jijik.
3. PAS dengan tegas tidak pernah sekali-kali melanggar hak dan kebebasan agama lain untuk diamalkan menurut lunas yang dibenarkan dalam Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan sejarah Malaysia membuktikan DAP dan pelopor parti tersebutlah yang sentiasa menyemarakkan api persengketaan antara kaum dan agama.
4. Lupakah kita semua akan siapa senator yang cuba menghapuskan status agama yang dipamerkan di dalam Kad Pengenalan setiap warganegara? Lupakan kita siapakah yang didapati menganggotai pertubuhan pengganas LTTE? Lupakah kita siapa yang menggelarkan PAS sebagai Taliban? Jawapannya hanya satu, DAP!
5. Bagaimana sebuah parti yang jelas mempromosikan agenda Islamophobia dengan sewenang-wenangnya mengalih tumpuan masyarakat dengan ‘melempar batu sembunyi tangan’ kepada PAS.
6. Tujuannya jelas untuk mengaburi mata seluruh rakyat agar tidak menghidu muslihat kotor mereka menyemai benih kebencian terhadap islam bahkan dikalangan jiwa umat Islam itu sendiri.
7. Realiti pada hari ini pula menyaksikan DAP dilindungi oleh rakan sekutu PKR dengan menjadi lidah mereka. Lihatlah bagaimana kenyataan Ketua Penerangan PKR yang setiap hari menyebar dakyah buruk berkenaan PAS.
8. Dek kerana mereka terpaksa menelan pahit kerjasama dengan BN yang secara tiba-tiba menjadi suci dimata mereka, cubaan mengalih tumpuan terus dihalakan kepada PAS tanpa segan silu.
9. Tanpa segan-silu mereka menunggang nama baik Institusi Istana dalam membenarkan setiap tipu helah mereka seolah-olah apa yang dilaksanakan mereka adalah perkenan daripada Istana Negara jua.
10. Hakikatnya, Pakatan Harapan tidak boleh menidakkan kejayaan PAS dalam PRU-15 dan tidak juga boleh menafikan bahawa mereka semakin tidak diterima oleh segenap rakyat Malaysia.
11. PAS Negeri Perak sentiasa menjunjung institusi beraja di Malaysia dan menasihati seluruh entiti parti untuk terus memberikan penerangan kepada semua agar wabak fitnah yang disebarkan dapat dihentikan dengan segera.
KHALIL YAHAYA KETUA
PENERANGAN PAS NEGERI PERAK
06 DISEMBER 2022