Oleh Dhiya’ Muttmainnah
TITIWANGSA, 5 November: “Perasaan saya sangat bersemangat walau terasa juga debarannya.
“Dengan gerak kerja yang telah ditunjukkan oleh jentera dan kesepaduan parti-parti dalam Perikatan Nasional Titiwangsa iaitu PAS dan Bersatu ini, adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk menatijahkan kemenangan insyaAllah,” demikian antara ucapan Calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Titiwangsa (P.119), Dr Rosni Adam ketika ditemu bual pada Hari Penamaan Calon pagi tadi.
Lebih 100 orang penyokong Perikatan Nasional telah hadir seawal jam 7.00 pagi lagi di Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Titiwangsa yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki.
Turut hadir memberikan sokongan adalah Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional merangkap Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Sharifah Rashida Sayed Idrus.
Menurut Ustazah Wan Hasrina, pencapaian Perikatan Nasional dalam pentadbiran pusat yang lalu jelas menunjukkan ia sebuah bentuk pemerintahan yang cakna, prihatin dan bersih.
“Sangat wajar untuk kita berikan kefahaman kepada rakyat seluasnya mengapa mereka perlu mengundi Perikatan Nasional,” tambahnya.
Titiwangsa menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana calon-calon dari Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pejuang dan Pakatan Harapan layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini.