Home Berita PAS Kedah

PAS Kedah kehilangan permata berharga

757
SHARE

OLEH HAFIZ MANSOR

ALOR SETAR, 18 OKT: PAS Kedah kehilangan seorang permata yang berharga apabila tokoh politik yang juga merupakan tokoh PAS Kedah, Dato’ Haji Muhamad Yusof Husin pergi dijemput Ilahi di rumahnya di Memali pada tengah hari ini akibat derita penyakit kanser mata sejak beberapa tahun lalu.

Beliau merupakan seorang pemimpin utama PAS Kedah yang pernah diangkat sebagai Ahli Senator Dewan Negara selama dua penggal melalui lantikan Dewan Undangan Negeri Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak.

Dato’ Haji Muhamad Yusof Husin pernah menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah (1993-1995), Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kedah (2007-2011) serta Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Kedah (2011-2013). Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa PAS Kedah dan ahli jawatankuasa Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS negeri (2013-kini)

Isu tragedi Memali sememangnya telah menjadi nadi perjuangan Dato’ Yusof Husin. Beliau yang turut mesra dengan panggil ‘Pak Cop’ merupakan salah seorang daripada tahanan ISA pasca tragedi berdarah tersebut.

Beliau pernah dibelasah oleh pihak berkuasa ketika itu semata-mata untuk membuat satu pengakuan palsu bahawa perjuangan tokoh utama Memali, Ibrahim Libya adalah pengaruh daripada Amanat Haji Hadi.

Dato’ Yusof Husin adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Memali PAS Kedah dan sering mengangkat desakan supaya sebuah jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat tragedi Memali yang berlaku pada tahun 1985.

Malah, beliau turut menolak sekeras-kerasnya Kertas Putih yang mengandungi maklumat yang berat sebelah terhadap pejuang Memali termasuklah As-Syahid Ibrahim Libya.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-68 yang diadakan baru-baru ini di Kompleks PAS Kedah, beliau yang hadir dalam keuzuran telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Istiqamah.

Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan segala amal baiknya diterima oleh Allah SWT.

Jenazah Almarhum diziarahi pimpinan PAS negeri dan kawasan di rumahnya di kampung Memali.
Setiausaha Pehubungan PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad menyampaikan sumbangan PAS Negeri Kedah kepada keluarga Almarhum.