Oleh HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 13 Sept : Penduduk sekitar Kampung Bukit Gelugor, Beserah, sering mengalami terputus bekalan air setelah lebih tujuh tahun mereka mendiami kawasan tersebut.
“Biasanya kalau tempat lain dah ada air dua hari, tempat kami ambil masa empat hari, tapi baru-baru ini dah masuk hari ke enam, tangki kami baru dinaiki air dengan air yang sangat halus”, kata Sarinah Ismail salah seorang penduduk di kampung tersebut.
Menurut Sarinah lagi, dari air yang kecil itu beliau terpaksa menadahnya ke dalam semua bekas yang ada sebagai stok simpanan apabila bekalan air terputus bila-bila masa sahaja.
Sebelum ini seluruh penduduk Kuantan telah terputus bekalan air semenjak Selasa lalu. Sekalipun telah pulih pada hari berikutnya di beberapa buah tempat, namun penduduk di sini terpaksa menunggu lebih lama berbanding di tempat lain.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu berkata, pihaknya telah ambil maklum mengenai isu ini dan telah dibawa kepada pihak PAIP beberapa tahun yang lepas, dan ianya masih dalam tindakan PAIP.
Beliau dimaklumkan bahawa pihak PAIP akan mengambil langkah jangka masa panjang untuk membina satu tangki bagi menyelesaikan masalah ini.
“Satu tangki akan dibina di jangka tahun depan, kerja-kerja awal pembinaan akan dibuat, semoga dengan terbinanya tangki tersebut dapat menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama”, kata Andansura.
Katanya lagi, sekaligus dapat menyelesaikan masalah gangguan air di Taman Bukit Batu Hitam yang berhampiran dengan kawasan tersebut.