Home Melaka

Rencana | Ke Makkah untuk uji betul atau salah?

239
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULIS teringat suatu masa dahulu penulis pernah mendengar satu cerita daripada sahabat penulis kisah seorang rakannya yang menjalankan satu perniagaan berunsur syubhat. Rakannya itu membuka sebuah asrama penginapan yang disewakan untuk pekerja-pekerja sebuah pasar raya.

Tetapi apa yang menjadi isu ialah rakannya itu menyewakan bilik itu kepada pasangan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin. Mereka tinggal bersama seperti ‘suami isteri’ di dalam bilik tersebut. Rakannya itu sebagai tuan rumah tahu situasi itu, tetapi dia tidak ambil pusing.

Apabila sahabat penulis itu mempersoalkan tentang halal atau haram hasil sewa yang diperolehi oleh rakannya itu, rakannya itu memberi jawapan yang menarik. Kata rakannya itu, dia telah menguji samada perbuatannya itu benar atau salah dengan menunaikan umrah ke Makkah menggunakan hasil sewa itu.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

 

Menurut rakannya itu, dengan menunaikan ibadah umrah menggunakan wang sewaannya itu dan dalam masa yang sama tidak ada apa-apa musibah yang berlaku pada dirinya semasa di Makkah, maka itu membuktikan bahawa perbuatannya itu tidak berdosa.

Sebenarnya semua ini berlaku disebabkan kepercayaan bahawa segala perbuatan salah akan dibalas secara ‘tunai’ atau ‘on the spot’ di Makkah. Dan sebaliknya jika tiada apa-apa berlaku, maka semuanya okay.

Kerana kepercayaan ini juga, ramai orang yang melakukan dosa-dosa besar takut menunaikan umrah atau haji ke Makkah kerana takut menerima balasan di sana.

Baru-baru ini tular kisah seorang wanita ‘pengkid’ yang berjaya melakukan tawaf di Makkah dengan menggunakan pakaian ihram lelaki. Beberapa tahun lepas pula kecoh apabila seorang lelaki maknyah yang berpakaian ihram wanita bergambar di hadapan Kaabah.

Dan sehingga hari ini kita tidak pula mendengar kedua-dua individu ini ditimpakan bala seperti yang kita biasa lihat dalam siri televisyen ‘Tanah Kubur’. Malah mereka hidup segar seperti biasa.

Penulis teringat masa kecil-kecil dahulu ada sebuah filem purba bertajuk ‘Pasung Puaka’. Kebiasaannya pasung adalah tempat di mana seseorang pesalah diikat sementara menunggu tindakan seterusnya.

 

Namun, pasung dalam filem tersebut mempunyai kuasa ajaib menghukum. Mengikut cerita itu, sekiranya orang yang dipasung itu bersalah maka orang itu akan mati. Jika seseorang itu tidak bersalah, maka tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Dan di dalam cerita tersebut pasung itu dianggap sebagai hakim kepada penduduk di situ.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 29 Ogos 2022


 

Hakikatnya untuk mengetahui bahawa sesuatu yang kita buat itu betul atau salah kita hanya perlu bertanya hukum-hakamnya kepada para ulamak yang arif. Bukan dengan pergi ke Makkah dan melihat apa kejadian pelik yang berlaku yang menjadi petunjuk untuk menentukan betul atau salah. Orang-orang seperti ini menjadikan Makkah umpama cerita ‘Pasung Puaka’ yang menjadi hakim.

Tidak dapat dinafikan memang Makkah sebagai tanah haram yang suci dan penuh karamah memang banyak berlaku kejadian-kejadian pelik dengan izin Allah SWT. Memang wujud kejadian pendosa-pendosa menerima balasan di sana sementelah di situ letaknya Baitullah. Namun tidak semestinya semua yang melakukan dosa akan dilanda perkara-perkara pelik dan dibala di sana.

 

Penulis bimbang juga jika ada pula yang berfikir bahawa apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang salah di hadapan Kaabah dan tidak ada bala berlaku secara ‘on the spot’, maka perbuatan itu seolah-olah disahkan sebagai tidak salah.

Begitu juga dalam soal sumpah. Walau pun sumpah yang disandarkan pada Allah SWT itu adalah sesuatu yang berat tanggungannya dan dijanjikan dengan laknat Allah SWT, namun ia tidak bermakna bahawa seseorang yang bersumpah dusta itu semuanya akan terus diturunkan bala pada masa itu juga.

Kita perlu ingat bahawa setiap manusia yang berdosa itu Allah SWT boleh timpakan padanya bala secara terus di dunia sebaik mereka melakukan dosa. Namun ada pula yang Allah SWT tangguhkan balasan sehingga akhirat.

Dan yang paling menakutkan ialah bagi sesetengah manusia pendosa yang Allah SWT tambahkan nikmat dunia pada mereka untuk tambah menyesatkan mereka dan bakal diazab di akhirat nanti. Itu yang dipanggil istidraj.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH