Oleh IBNU JANIE
KEMERDEKAAN bermaksud berjaya melepaskan dan membebaskan negara daripada belenggu penjajah. Penjajah pada dasarnya adalah sebuah negara lain yang mahu menguasai negara kita. Dengan merdeka daripada penjajah kita bebas untuk membina negara dengan acuan sendiri.
Namun kemerdekaan daripada penjajah secara fizikal masih belum cukup untuk menjadikan sesebuah negara bangsa itu benar-benar bebas. Berada di bawah belenggu pentadbiran ahli-ahli politik yang korup dan rasuah juga sebenarnya sama sahaja sengsaranya dengan duduk di bawah penjajah.
Daripada pemerhatian penulis, masalah rasuah ini tidak menjadi masalah yang ketara semasa tahun-tahun awal kemerdekaan dahulu. Mungkin kerana pada masa itu hasil yang diperolehi negara masih belum menggiurkan untuk ‘disakau’. Atau mungkin juga pada masa itu ahli politik kebanyakannya masih ikhlas bekerja untuk bangsa dan negara.
Penulis pernah berpeluang berbual dengan orang-orang lama parti pemerintah yang memerintah negara sejak mula merdeka. Penulis dapat membuat kesimpulan bahawa pada masa itu politik bukan satu cara untuk menjadi kaya walau pun mereka adalah ahli politik kerajaan.
Namun apabila negara kita menjadi semakin makmur dan kaya maka masing-masing sudah mula nampak peluang untuk mengumpul kekayaan peribadi melalui politik.
Ketaksuban ahli politik kepada kuasa dan pengaruh mendorong mereka menggunakan wang sebagai cara untuk mengikat pengikut-pengikut mereka agar sentiasa taat pada mereka. Bermula di situ, rasuah dan penyelewengan terus membarah dalam kalangan ahli politik terutamanya parti pemerintah.
Kini, apabila keadaan ini semakin menjadi-jadi, rakyat mulai marah dan sedar bahawa ahli-ahli politik sudah melampau dan semua ini harus dihentikan. Namun usaha ini sudah pasti memakan masa memandangkan ia sudah menjadi darah daging kepada ahli politik berkuasa terutama ahli politik Melayu.
Dan baru-baru ini apabila seorang mantan pimpinan negara dihantar ke penjara kerana rasuah, ramai yang berasakan bahawa ia satu kejayaan besar dalam usaha menangani rasuah di Malaysia. Namun, bagi penulis ia hanyalah satu permulaan daripada satu perjuangan yang sangat panjang terhadap usaha untuk mencantas gejala rasuah ini.
Apa yang membuatkan penulis yakin bahawa perjuangan menghapus rasuah ini berada di laluan yang sangat sukar dan panjang ialah apabila seseorang yang telah mencuri wang negara bernilai jutaan Ringgit dan didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi, namun menerima ucapan takziah dan didoakan ketabahannya oleh orang ramai.
Umpama rumah keluarga kita dirompak, disamun dan ada ahli keluarga kita dirogol dan dibunuh, adakah kita mampu untuk mengucapkan takziah kepada pelakunya yang dihukum oleh mahkamah?
Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 2-4 September 2022 |
Apabila pesalah rasuah masih disantun dan dibelai, di situ penulis dapat membuat kesimpulan bahawa kebanyakan masyarakat Malaysia sebenarnya belum benar-benar membenci rasuah dan berasa jijik dengan perbuatan rasuah ini umpama kita melihat najis!
Masyarakat kita sebenarnya masih di tahap memandang rasuah dan penyelewengan itu sekadar kes-kes penipuan dan scam yang banyak berlaku sekarang. Mereka tidak sedar bahawa kehancuran akibat rasuah itu sebenarnya jauh lebih dahsyat daripada isu wang.
Selain itu, penulis juga melihat pembongkaran rasuah, masih dipengaruhi oleh faktor politik. Contohnya apabila sesuatu kes itu melibatkan parti sendiri atau parti sekutu, maka pemimpin parti tersebut akan lunak terhadap sesuatu keputusan mahkamah. Sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin parti musuh maka berdegar-degar mengecam dan marah.
Kita masih belum sampai ke peringkat ahli-ahli politik mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh ahli politik parti mereka sendiri atas dasar kebencian mereka terhadap aktiviti rasuah ini.
Walau pada masa ini pun ada juga berlaku, namun ia lebih kepada usaha untuk menjatuhkan musuh politik mereka sahaja walau pun daripada parti yang sama. Bukan sangat kerana rasa benci terhadap rasuah.
Penentangan terhadap rasuah seharusnya bersifat ‘buta warna’ dan tidak mengenal siapa. Semua ahli politik seharusnya marah pada aktiviti rasuah tidak kira dilakukan oleh parti mana sekali pun, walau pun parti sendiri.
Selagi kita belum dapat mewujudkan rasa benci kepada rasuah kerana ia adalah suatu dosa, bukan kerana sebab-sebab lain, maka selagi itulah rasuah tidak akan dapat dihapuskan. Jalan perjuangan yang masih jauh dan berliku.
Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka
Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.
Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.
Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.
Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.
Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.
JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH