Oleh : Salmi Din
5 Julai 2022
KALABAKAN: Jentera Muslimat Kalabakan perlu menanamkan keyakinan bahawa muslimat merupakan nadi kepada perjuangan Islam khususnya di kawasan Kalabakan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kalabakan, Wardina Jufry berkata, muslimat mestilah bersemangat melaksanakan amanah dan tugasan yang telah diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah dan ikhlas.
“Kemantapan ilmu duniawi dan ukhrawi menjadi lesen utama dalam menggerakkan jemaah. Di samping itu perlunya para jentera mempunyai kekuatan iman dan jiwa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kalabakan kali ke 11, di sini pada Ahad.
Mesyuarat telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah sekaligus menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Halwa Pilihan Raya.
Menurut Wardina lagi, ilmu dapat diperkukuhkan dengan mengamalkan amalan soleh dan menguasai pelbagai kemahiran menjadi tambahan perencah dalam mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran.
“Kita perlu mempersiapkan diri dengan bekalan yang mencukupi agar tidak terjerumus dalam lembah kelemahan, futur, tidak bersemangat dan tewas di tengah-tengah perjalanan.
“Yakinlah, bahawa setiap kerja yang kita lakukan semuanya sentiasa di bawah pemerhatian dan penilaian Allah dan dirasai keberkatannya sepanjang hayat kita di dunia ini serta akan dinikmati hasilnya di hari kemudian kelak,” ujarnya di akhir ucapan.