KUALA TERENGGANU – Kumpulan ‘orang lama’ muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS), As-Sabiqat Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) akan memastikan generasi mereka tidak akan sesekali mundur dan sentiasa menyumbang kepada parti dengan kudrat yang terdaya.
Pengerusinya, To’ Puan Zaiton Salleh berkata, biarpun dengan kekurangan kudrat dan kemahiran, mereka tidak akan sekali-kali berehat dengan selesa dan meninggalkan perjuangan parti.
“Orang tua seperti kita pastilah merasa ‘sedap’ duduk di rumah. Tetapi adakah ‘kesedapan’ itu akan membawa kebaikan kepada diri dan jemaah? Sesungguhnya rehat yang sebenarnya adalah kematian.
“Kita sangat rasa terbatas, dengan tenaga yang ada dan golongan kita terkebelakang dalam suasana media sosial yang ada pada hari ini.
“Namun kita perlu terus sama-sama bergerak, duduk berprogram mengikut ‘kadar’ kita dan menyumbang semampunya insya-Allah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada mesyuarat kali pertama penubuhan As-Sabiqat Terengganu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di sini pada 23 Mei lalu.
“Kami akan berusaha mengambil cakna usaha kerajaan negeri dan memberitahu masyarakat apa yang perlu mereka tahu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Zarani Othman mengharapkan golongan veteran PAS itu dapat membantu dalam kemaraan dan kemenangan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
“Terima kasih saya ucapkan kepada kekanda-kekanda yang sudah lama berjuang dan masih setia bersama kami bekerja untuk mempertahankan kemenangan PAS di Terengganu.
“Perjuangan kita mesti diteruskan sehingga kita bertemu Allah SWT tidak kira kemampuan dan kudrat yang ada pada kita. Apa saja yang ada pada kita gunakanlah.
“Justeru kami sangat mengharapkan As-Sabiqat turut memberi pandangan atau teguran kepada kepimpinan muslimat. Nasihat, bimbingan, saranan daripada muslimat veteran amat kami perlukan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penubuhan itu yang turut dihadiri Setiausaha DMPNT, Rahimah Muda.