Oleh IBNU JANIE
GOLONGAN munafik adalah mereka yang berpura-pura Islam. Mereka ini juga sukar dikenalpasti kerana amalan Islam luaran mereka kadang-kala jauh lebih hebat daripada orang Mukmin sendiri.
Di sebalik mereka cuba menunjukkan ‘ketakwaan’ mereka itu, mereka dalam masa yang sama menggugat Islam dari dalam. Antaranya menghasut orang Islam agar tidak pergi berperang ketika zaman Rasulullah SAW di Madinah dahulu.
Jika seseorang itu kafir lagi harbi, senang kita kenal. Tetapi orang munafik ini lain. Nak ditentang, mereka mengaku beriman. Nak dipercayai, mereka buat khianat pada Islam. Mereka jadi duri dalam daging!
Tanpa kita sedar bahawa banyak masalah yang berlaku dalam negara dan masyarakat kita pada hari ini sebenarnya berpunca daripada wujudnya golongan berfahaman munafik. Masalah rasuah, jenayah, kegagalan penguasaan ekonomi umat Islam dan segalanya berpunca daripada gangguan golongan munafik.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 13 Jun 2022 |
Kita lihat dahulu pada isu rasuah. Maaf cakap, rasuah di Malaysia pada pandangan penulis adalah di peringkat parah! Orang-orang politik berlumba-lumba mengejar jawatan untuk menjadi kaya dengan mengumpul habuan secara salah.
Sebelum ini ada pimpinan-pimpinan tinggi negara yang dituduh melakukan rasuah dan ‘mencuri’ berbilion Ringgit. Ia menjadi lucu apabila ada pula bekas pemimpin negara yang terkenal dengan anak-anaknya yang menjadi kaya raya semasa pentadbirannya tiba-tiba menjadi hero melawan pemimpin yang dikatakan perasuah dan pencuri itu.
Segala tuduhan dihambur tanpa sedikit pun rasa malu bahawa dia pun sebenarnya sama sahaja dengan pemimpin yang dituduhnya itu. Dua kali lima. Tetapi itulah sifat kemunafikan dalam diri sesetengah pemimpin politik.
Sebab itu kadang-kadang kita pelik melihat ramai yang terjerit-jerit menentang rasuah, tetapi bila mereka berkuasa, rasuah masih berleluasa juga.
Ilustrasinya begini, kita lihat dalam 10 orang ada lapan orang yang menyatakan komitmen benci rasuah. Ada dua orang sahaja yang merupakan pengamal rasuah. Dengan bilangan ini sepatutnya terhapuslah rasuah.
Tetapi kita lihat rasuah berlaku juga macam biasa. Rupanya daripada lapan orang yang berdegar-degar menentang rasuah itu, enam daripadanya adalah munafik. Jadi hakikatnya daripada 10 orang itu sebenarnya lapan orang adalah pengamal rasuah termasuk si munafik. Kerana itu masalah rasuah tidak selesai-selesai.
Perjuangan untuk membela nasib dan masa depan orang-orang Melayu dan Islam asalnya sangat bagus. Ia tidak mengganggu dan merosakkan bangsa dan agama lain. Malah bangsa dan penganut agama lain juga melakukan perkara itu untuk bangsa dan agama mereka.
Namun ia juga dirosakkan oleh munafik-munafik yang melaungkan perjuangan hak orang Melayu yang sebenarnya untuk mengaut manfaat peribadi poket sendiri. Rupanya ‘orang Melayu’ yang mereka perjuangkan adalah ahli keluarga dan kroni mereka sahaja.
Akhirnya perjuangan hak-hak Melayu dan Islam itu pun mendapat nama buruk dan menjadi bahan ketawa dan momokan. Sehinggakan ada orang Melayu sendiri menjadi skeptikal dan menentang perjuangan ini. Semuanya disebabkan kumpulan munafik ini yang memberi nama buruk pada perjuangan membela nasib Melayu dan Islam.
Begitu juga dalam soal penguatkuasaan undang-undang dan menentang jenayah. Semasa penulis berniaga di sebuah pasar raya dahulu, ada sebuah kedai menjual VCD cetak rompak. Satu hari penulis lihat kedainya ditutup dan pekerja itu berlegar-legar di situ.
Apabila penulis bertanya pekerja itu, katanya akan ada serbuan oleh penguatkuasa. Dia sudah mendapat maklumat awal, jadi dia tutup kedainya supaya tidak diserbu. Siapa yang bagitahu maklumat itu? Apakah maklumat itu diberikan secara percuma?
Pasukan-pasukan penguatkuasa adalah harapan dan pelindung rakyat daripada penjenayah-penjenayah ini. Sekiranya ada pegawai-pegawai yang bersikap munafik maka sampai bila-bila jenayah tidak dapat dihapuskan.
Walau pun pada dasarnya beratus-ratus operasi dijalankan dan dipaparkan di siaran berita, tetapi jika ada pegawai yang bersifat munafik, melindungi dan membocorkan maklumat, ia hanya jadi wayang sahaja. Jenayah tidak selesai-selesai juga.
Jadi jelaslah kepada kita bahawa apa sahaja ruang dan bidang, sekiranya tersentuh sahaja dengan golongan munafik di dalamnya maka ianya akan rosak dan hancur tanpa sedar. Umpama anai-anai meruntuhkan tiang-tiang seri rumah. Sebab itulah di akhirat nanti orang-orang munafik tempatnya di neraka lebih bawah daripada orang kafir.
Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Pusat.