POKOK SENA – Hancur hati seorang lelaki apabila mendapat perkhabaran rumah yang menjadi teduhan mereka sekeluarga selama ini sedang hangus dijilat api.
Mangsa, Mat Ridhwan Mat Saad menjelaskan ketika kejadian beliau ketika itu sedang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Hospital Sultanah Bahiyah.
“Saya bersyukur ketika kejadian tiada orang di rumah.
“Isteri saya kini sedang menerima rawatan di Hospital Putra dan seperti biasa anak-anak saya akan hantar ke rumah pengasuh sebelum pergi bertugas,” katanya.
Pegawai Khas ADUN Bukit Pinang, En Mohd Firdaus Salleh yang mewakili ADUN Bukit Pinang, YB Wan Romani Wan Salim menenangkan tuan rumah supaya tabah dan menerima ujian ini sebaiknya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena, Azrul Musa berkata mereka bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.
“Ketika menjalankan operasi memadamkan kebakaran, kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air kerana kedudukan pili bomba yang jauh dari tempat kejadian.
Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa selama 30 minit bagi memadamkan api keseluruhannya.
“punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi disiasat”, katanya.
Turut hadir Penghulu Mukim Tualang, Sdr Salleh Mahmod dan Setiausaha JPKK, Sdr Zulkifli Abdul Rahman.