Home Melaka

Rencana | Boikot : ‘Keris Taming Sari’ pengguna yang kini di tangan pengeluar

173
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BERCAKAP tentang boikot kepada sesuatu produk atau perniagaan, ia sebenarnya memang ada dalam ilmu ekonomi. Ia bukanlah sesuatu yang jahat pun.

Apabila berlaku situasi kenaikan harga yang melampau maka pengguna boleh melakukan boikot agar dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatu barangan. Ia menyebabkan hasil yang diperolehi pengeluar makin berkurang.

Dengan menurunkan permintaan akan menyebabkan berlaku lebihan penawaran. Maksudnya peniaga mempunyai banyak stok yang tidak dapat dijual sedangkan jumlah yang ingin dibeli oleh pengguna menjadi sedikit atas faktor boikot. Jadi peniaga terpaksa menurunkan harga untuk menghabiskan stoknya yang banyak belum terjual itu.

Namun begitu, mengikut pemerhatian penulis, boikot jarang boleh berjaya di Malaysia kerana pengguna di Malaysia tidak satu hati. Sebagai contoh, kalau harga ayam naik, orang yang mampu dan sesetengah yang tidak mampu tetapi tidak dapat menahan keinginan makan ayam, tetap membelinya.

Jika berlaku boikot tetapi bilangan pengguna yang melakukannya tidak besar maka ia tidak memberi kesan pada peniaga sebenarnya. Inilah yang biasa berlaku di Malaysia.

Baru-baru ini berlaku pengurangan jumlah ayam di pasaran. Banyaklah tafsiran yang keluar. Mengapa tiba-tiba ayam berkurang? Adakah ayam sedang dilanda sakit? Takkan tiba-tiba ayam berkurang?


Rencana ini disiarkan di Harakah cetak bertarikh 27 Mei 2022

Timbul persoalan adakah pengeluar sedang cuba mengganggu penawaran ayam untuk ‘mengugut’ rakyat dan kerajaan? Adakah kerana mereka tahu bahawa rakyat tidak boleh hidup tanpa ayam menyebabkan mereka memberi satu pengalaman ngeri untuk rakyat bagaimana rasanya hidup tanpa makanan itu?

Dan yang paling lucu sekali, sudahlah rakyat tidak mampu melakukan boikot untuk mengurangkan harga, sebaliknya pengilang pula yang berani melakukan ‘boikot’ terhadap pengguna dengan ‘menyekat’ bekalan ayam untuk menuntut kenaikan harganya.

Nampaknya, daripada situasi ini ‘senjata’ boikot yang sepatutnya menjadi ‘senjata’ ampuh milik pengguna telah bertukar tangan kepada pengeluar pula.



 

Boikot umpama ‘Keris Taming Sari’ yang menjadikan pemiliknya kebal dan berkuasa. Asalnya ‘Keris Taming Sari’ itu ada di tangan pengguna. Tetapi ia telah berpindah ke tangan pengeluar.

Sifat ‘Keris Taming Sari’ ini pula akan memberi kuasa kepada sesiapa yang yang memegangnya. Sama seperti pemilik asal keris ini iaitu pendekar Majapahit si Taming Sari yang tidak dapat dilukai langsung apabila dia sedang memegang kerisnya itu.

Tetapi apabila Hang Tuah membuat helah sehingga dia dapat merampas keris itu daripada Taming Sari maka Hang Tuah pula menjadi kebal dan berjaya membunuh pendekar itu pula.


Gambar hiasan – kredit foto :Google

Jadi, akibat daripada pengguna yang tidak tahu untuk memanfaatkan ‘Keris Taming Sari’ yang ada di tangan mereka, sekarang pengeluar pula telah merampas keris itu dan menggunakannya untuk ‘mengalahkan’ pengguna dan kerajaan.

Jadi pengguna dan kerajaan harus berhati-hati dengan situasi sekarang. Mungkin situasi akan jadi terbalik. Dalam keadaan sepatutnya pengguna dan kerajaan mendesak pengeluar menurunkan harga ayam, tiba-tiba rakyat dan kerajaan pula terpaksa akur pada kenaikan harga jika masih mahu makan ayam disebabkan kejayaan ‘boikot’ pengeluar ini. Pelik bukan?

Namun barang harus diingat juga, boikot hanya berkesan sekiranya kenaikan harga yang dilakukan oleh pengeluar itu bukan disebabkan oleh kenaikan kos.

Sebagai contoh, kenaikan kerana pengeluar mengambil kesempatan apabila berlaku peningkatan mendadak dalam permintaan atau pengurangan dalam penawaran yang menyebabkan berlaku lebihan permintaan.

Lebihan permintaan yang berlaku pula mendorong peniaga untuk mengambil kesempatan menaikkan harga walau pun kos mereka tidak meningkat pun.

Sungguh pun begitu boikot oleh pengguna boleh dijadikan cuba jaya untuk mengesan samada kenaikan harga yang berlaku sebelum itu disebabkan oleh kenaikan kos atau kerana pengeluar sengaja menaikkan harga.

Pengeluar ayam juga sedang merungut tentang kos pengeluaran ayam yang tinggi menyebabkan mereka rugi. Mereka mengadu kos dedak ayam yang semakin meningkat menyebabkan perniagaan ini tidak lagi menguntungkan.

Sekiranya boikot dilakukan dan mereka boleh menurunkan harga bermakna ia bukan disebabkan peningkatan kos. Namun sekiranya ia benar-benar disebabkan peningkatan dalam kos maka peniaga biasanya akan berhenti berniaga jika dipaksa menurunkan harga di bawah kos sebenar mereka. Peniaga tidak akan berniaga di bawah kos.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.