Home Pedoman Haraki

Munafiq Kekal Sehingga Kiamat

577
SHARE

 

MUNAFIK KEKAL SEHINGGA KIAMAT

Satu kesilapan nyata yang dilakukan oleh para murabbi sesebuah jemaah Islam, apabila menyatakan bahawa jemaah kini telah bersih dari sebarang ancaman dalaman. Konon mahu memberikan khabar gembira kepada para troopers bahawa mereka telah berjaya menyingkir musuh dalam selimut, tetapi sebenarnya menyalahi hukum dan sunnah perjuangan.

Puncanya ialah dahulu apabila mereka mengesahkan pihak-pihak tertentu adalah satu ancaman, mereka cuma berusaha supaya orang tersebut disingkirkan sahaja. Mereka tidak menekankan persoalan fikrah secara mendalam, tetapi lebih fokus kepada individu-individu tertentu sahaja.

Siapa bermusuh dengan individu tersebut maka mereka rakan kita. Siapa memberi pendapat yang berbeza dengan individu dari pihak kita, maka mereka musuh kita. Siapa berkawan dengan musuh kita maka mereka juga musuh kita dan begitulah sebaliknya. Inilah method paling mudah mengecam ancaman.

Lalu apabila orang yang dimaksudkan berjaya disingkir, maka golongan ini menganggap segala ancaman telah pun tiada. Jemaah telah bersih sebersihnya. Sebarang pendedahan tentang ancaman terbaru dianggap sebagai omongan kosong sahaja. Mereka memilih untuk hidup selesa.

Pendirian sebegini sebenarnya bercanggah dengan nas-nas agama. Ia bersalahan dengan sunnah tadafu’, dan sunnah tamhis. Hakikat sebenar adalah, mana-mana jemaah Islam di setiap zaman tidak akan sunyi dari pertembungan dan ancaman dalaman, sebagaimana tidak lekang dari musuh luaran.

Jemaah Islam terawal yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah sunyi dari ancaman musuh dalaman. Sehingga roh baginda diangkat ke hadrat Ilahi, generasi jemaah Islam itu masih meninggalkan saki baki munafik yang tak terhapus.

Maka apakah kita mudah berbaik sangka, sehingga menganggap jemaah kita di tahap lebih baik dari yang pernah dicapai oleh kepimpinan baginda SAW? Apakah jemaah ini lebih suci dari generasi sahabat dan tabiin? Ukuran apakah yang kita gunakan?

Selagi syaitan wujud selagi iblis masih hidup, selagi itu jemaah Islam tidak akan aman dari ancaman. Berapa ramai yang kita kenal dulu menjadi amilin tegar yang sanggup berbagi apa sahaja untuk jemaah, hari ini sudah bertukar menjadi penjilat tegar musuh sehingga sanggup memusnahkan jemaah sendiri. Terhasut dengan bisikan syaitan yang memalingkan hati dari ikhlas menuntut redha rabbi, bertukar kepada mengejar nama, takhta dan habuan dunia. Bermula dengan menerima bantuan musuh, bertukar kepada menjadi agen musuh. Sejarah telah banyak mengajar.

Syaitan tidak mengenal ulama atau aktivis. Tidak membezakan serban atau topi sudu. Apabila termakan hasutannya, malaikat pun boleh bertukar syaitan!

As-Syahid Syeikh Abdullah Azzam pernah berpesan, kalau kita punya 10 peluru, halakan satu sahaja pada musuh. Sembilan lagi kepada pihak sendiri. Ayat ini selalu dicanangkan semasa so called jebon masih berbuat onar dalam jemaah. Namun di mana dalilnya, kata-kata As-Syahid itu sudah ternasakh?

Sedangkan surah munafik sendiri masih belum ternasakh!

Satu bidaah besar dalam ilmu fiqh haraki, apabila menganggap gerakan Islam sudah selamat dari ancaman dalaman. Sebelu mempersoalkan kenapa air masih berkocak walau sudu telah diangkat, pastikan dahulu apakah benar sudu telah diangkat?

Di ‘tangan’ siapa sebenarnya sudu itu?

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}