Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Berdoalah Walau Di Mana; Setiap Masa

637
SHARE

Berdoalah Walau Di Mana; Setiap Masa

Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. (Surah Al Ghafir ayat 60). Mengenai ayat ini, Imam Ahmad meriwayatkan bahwa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, Siapa yang tidak pernah berdoa kepada Allah Azza Wa Jalla, maka Allah murka padanya.

Isu bacaan doa melibatkan Airbus Airasia A330 kini hangat menjadi bualan netizen. Isu ini bermula ekoran permintaan juruterbang Muslim pesawat A330 yang dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur meminta penumpang membacakan doa semasa pesawat mengalami gangguan teknikal. Majoriti netizen memuji sikap yang ditonjolkan juruterbang tersebut.

Namun, ada juga yang mengkritik dan mempertikai arahan membaca doa tersebut dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang merisaukan penumpang semata-mata. Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) memuji dan menyokong tindakan kapten pesawat A330 yang membuat pengumuman dalam pesawat tersebut. Sesungguhnya menyeru orang untuk membuat kebaikan itu sangat dituntut dan mencegah kemungkaran itu juga perlu ke atas setiap muslim terhadap sesama manusia.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala;“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah ta’aala mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah Az-Zumar 53-54)

Justeru, kami berbangga dengan sikap ditonjolkan juruterbang Airbus Airasia yang secara jelas memohon pertolongan Allah S.W.T. Janganlah kita bersikap sombong dan angkuh dengan Allah Taala. Jadilah seorang Muslim yang sentiasa menyerah diri dan mengharap pertolongan dari Yang Maha Berkuasa dalam apa jua situasi. Sebagai hambaNya, kita perlu sentiasa punya rasa syukur, tunduk patuh dan tawaduk. Bersyukur atas segala nikmat kurniaanNya.

Memetik hadis ke 19 pertolongan dan perlindungan Allah; Dalam riwayat selain al-Tirmizi, hadis berbunyi:
“Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapati-Nya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan.”Sebagai hamba-Nya, kita perlu  memohon pertolongan hanya kepada Allah yang Maha Berkuasa. Janganlah kita meminta-minta dengan yang selain daripada Allah. Hanya Allah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Seharusnya kita tidak termasuk ke dalam orang-orang yang hanya taat beribadah tatkala pada suatu ketika sahaja. Kerana mengingat Allah itu ada di dua waktu. Baik di waktu sempit dan di waktu lapang. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,“Kenalilah Allah di waktu lapang, niscaya Allah akan mengenalimu ketika susah.”
(Hadis Riwayat Hakim)Doa itu senjata bagi orang mukmin.

Dengan berdoa dapat mententeramkan jiwa dan menenangkan hati. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ar-Ra’du, ayat 28 ; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati boleh menjadi tenteram (tenang).”Allah amat mengasihi dan menyukai akan hamba-hambaNya yang selalu berdoa dan meminta sesuatu kepada-Nya.

Hadis Nabi s.a.w  yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain, bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud “Qadak itu tidak dapat ditolak dengan doa.” Selain itu, Nabi s.a.w menerangkan “Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau belum berlaku. Oleh itu hamba Allah hendaklah kamu berdoa.”

Akhir kalam, tahniah buat Kapten pesawat Airbus A330 di atas usaha untuk mengajak sama-sama berdoa, kerna sesungguhnya beserta kesulitan adalah kemudahan. Inilah antara usaha berdakwah dan pesanan istimewa  yang menjentik taman hati agar kita sentiasa ingat Allah sentiasa ada di mana-mana, walau setiap masa serta setiap detik.

 

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
8 Syawal 1438H
2 Julai 2017