Home Berita PAS Terengganu

Wajarkah Kerajaan PAS Terengganu dipertahankan?

129
SHARE

Keutuhan kerajaan Terengganu yang ditadbir Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada hari ini perlu dipertahankan.

Kesemua barisan pentadbiran dan pihak yang berada di dalam kerajaan sedang melaksanakan kerja di tahap terbaik bagi memacu Terengganu ke peringkat lebih gemilang.

Ini terbukti berdasarkan laporan ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, kedudukan kewangan kerajaan Terengganu bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 adalah stabil atau berada pada landasan tepat.

Sebagaimana yang sering disebut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di awal pemerintahan kerajaan menghadapi pelbagai cabaran seperti berdepan hutang yang banyak dengan kerajaan pusat dan menanggung projek-projek mega terbengkalai.

Namun, alhamdulillah semua itu dapat diselesaikan, hutang kerajaan pada 2017 berjumlah RM906.94 juta tetapi pada 2020 tinggal RM279.97 juta, pengurangan secara mendadak.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dahulunya menjadi bahan ‘troll’ akibat runtuh dan terbengkalai, kini diiktiraf penganalisis sukan, projek Perumahan Padang Setengge sudah ‘bercahaya’ dan projek Ladang Rimbunan Kaseh bernilai RM27 juta di Rantau Abang kini mengeluarkan hasil, ini beberapa pembaharuan.

Dua kekangan ini lah yang perlu ditempuhi sebelum barisan pentadbiran kerajaan mengorak langkah mencipta lebih banyak tawaran istimewa buat rakyat.

Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran itu Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang dahulunya bermasalah mula mencatat keuntungan demi keuntungan di era pentadbiran PAS, sekali gus memberi pulangan lumayan kepada negeri dan rakyat.

Antaranya, TDM Berhad merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM81.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 tertinggi sejak 2011, manakala Hotel Permai tahun ini berhasil mencatat keuntungan selepas 12 tahun melalui tempoh kerugian di samping Hotel Paya Bunga (PB) peningkatan keuntungan 1,000 peratus selepas rugi RM1.8 juta pada 2015.

Khabarnya akan ada lagi syarikat milik kerajaan negeri yang untung meningkat 1,000 peratus tahun lepas.

Sosioekonomi di Terengganu pula berada pada landasan terbaik setelah berjaya mengurangkan kadar pengangguran ke bawah paras 4.0 peratus selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

Kadar orang yang tidak bekerja pada 2019 turun kepada 3.5 peratus berbanding 2018 yang merekodkan 4.8 peratus.

Mengenai pelaksanaan syariah, sebagai sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai dasar sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan juga menjadi prinsip pertama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030), agenda itu terus menjadi fokus kerajaan.

Proses ini perlu dilakukan dengan cermat dan berperingkat serta tidak tergopoh-gapah, beberapa inisiatif telah diambil antaranya ialah membangunkan Garis Panduan Patuh Syariah Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan.

Contoh kejayaan garis panduan ini ialah Pawagam TGV Mesra Mall di Kemaman menjadi pawagam kedua selepas Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk mengikut jantina bukan mahram dan keluarga.

Beberapa dasar dan polisi lain yang selaras dengan syariah turut dilaksanakan, seperti dasar perumahan Rumah Darul Iman (RAHMAN), Dasar Integriti Darul Iman (DIDI), dan Modul Itqan Insani.

Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan beberapa agensi bertindak dalam agenda ini seperti Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan juga Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS).

Yang pasti, penguatkuasaan terhadap jenayah syariah akan terus diperhebat pada tahun-tahun mendatang selepas proses pendidikan di awal 3 tahun ini telah ‘cukup matang’ dan masyarakat sudah memahami gaya hidup sebenar.

Dalam soal urus niaga kerajaan, elemen patuh syariah amat dititikberatkan, antaranya ialahkerajaan telah mendapatkan kembali status patuh syariah untuk TDM Berhad, setelah beberapa tahun status tersebut ditarik.

Soal kebajikan rakyat tidak perlu disangkal lagi, umum mengetahui pelbagai inisiatif untuk golongan sasar telah dijayakan PAS, sehingga kini 18 daripada 20 manifesto sudah memberi manfaat kepada rakyat.

Coretan ringkas ini sudah cukup menjadi hujah betapa kerajaan ini perlu dipertahan, banyak lagi agenda Islam, kebajikan dan pembangunan yang perlu dilunaskan.

Muhammad Husaif Mamat,
Anak Terengganu.