Home Berita PAS Perak

Guru PASTI Perak dirai, alumni dilancarkan

80
SHARE

Oleh: Basith Samad

PARIT BUNTAR, 18 Mei: Kemeriahan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Perak 2022 begitu dirasai setelah 2 tahun program utama PASTI hanya boleh diadakan secara atas talian berikutan kekangan situasi Covid-19.

Kehadiran sangat memberansangkan daripada guru PASTI seluruh Negeri Perak dengan anggaran hampir 300 orang itu telah berlansung di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar.

Majlis yang telah berlansung baru-baru ini, disempurnakan perasmiannya oleh Pesuruhjaya PAS Perak merangkap EXCO Kerajaan Negeri Perak, YB Hj. Razman Zakaria.

“Sesungguhnya pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan oleh guru PASTI tidak ternilai, khususnya dalam mencetak generasi pejuang agama dan negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Perak, Majlis Guru PASTI Perak serta seluruh jawatankuasa dan urusetia program atas yang dianjurkan kali ini.

“Semoga kita semua diberi kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab bersama di posisi masing masing dalam menegakkan agama Allah Taala,” ujarnya lagi.

Majlis dimulakan dengan usrah perdana yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak merangkap Ketua Sektor Pendidikan, Zulfadli Hj Zainal, berkaitan dengan tema sambutan Hari Guru “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”

Program turut diserikan dengan pelbagai acara yang dipertandingkan, persembahan daripada pelajar PASTI dan cabutan bertuah.

Dalam majlis yang sama turut diberikan anugerah bersempena Hari Guru PASTI Negeri Perak 2022.

Antara yang menerima anugerah tersebut, Muallimah Sabiha binti Spian dari Taiping telah diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru PASTI Perak. Manakala Muallimah Fadzilah binti Abu Hassan dari Parit telah dinobatkan Anugerah Tokoh Mujahidah PASTI Perak.

Sementara itu, Anugerah Khas Majlis Guru PASTI Negeri Perak telah disandang oleh Muallimah Zainab binti Ahmad dari Lenggong dan Muallimah Fauziah binti Mohd Noor dari Gerik telah menerima Anugerah Guru Lama Berkhidmat.

Program edisi kali ini turut dilancarkan penubuhan Alumni PASTI Perak serta penyampaian Anugerah Ikon Alumni PASTI Perak yang melibatkan 3 orang penerima iaitu Imam Muda Jabbar, Ustaz Hafez Sabri dan Khairul Idham Pawi.

Hadir bersama memeriahkan majlis ialah Ustaz Hafez Sabri (Ketua Pemuda PAS Perak), Ust Mohd Azahari Yahaya (Timbalan Ketua Pengarah PASTI Malaysia), kepimpinan peringkat negeri dan kawasan.