Home Melaka

Rencana | PAS perlu sayap perniagaan untuk mendanai parti

237
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PAS memanglah terkenal sebagai parti yang didanai oleh ahli-ahlinya melalui sumbangan dan infak. Malah parti ini sinonim dengan jolokan ‘tin milo’ yang menjadi simbol tabung bergerak untuk mendapatkan sumbangan daripada para ahli-ahlinya.

Baru-baru ini PAS Kedah telah merasmikan kompleks pentadbirannya yang sangat gah. Dan itu adalah simbol suksesnya peranan ahli-ahli PAS di Kedah yang selama ini terkenal dengan pemurah infak mereka untuk perjuangan.

Namun, penulis berpendapat bahawa jika kemampuan PAS untuk memobilisasikan ahli-ahlinya untuk menyumbang, digabungkan dengan aktiviti menjana pendapatan melalui perniagaan atau pelaburan maka ia akan dapat meningkatkan lagi dana PAS untuk menampung pergerakan parti.

Satu perkara yang menarik perhatian penulis apabila mengkaji tentang ulama-ulama terkenal Indonesia, penulis dapati ramai antara mereka yang mempunyai pesantren dan aktif berdakwah sebenarnya memiliki perniagaan yang besar untuk menampung kerja dakwah mereka.

Ini seolah-olah menjadi trend kepada ulama-ulama di sana. Jadi mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang ramai. Ia dapat mengelakkan mereka daripada terikat dengan penyumbang yang mungkin akan mengehadkan kebebasan mereka berdakwah.

Kerana itu penulis melihat bahawa ada keperluan agar PAS mempunyai sayap perniagaan atau pelaburan untuk mendanai perjuangannya. Ada dua kaedah.yang boleh digunakan.

Kaedah pertama iaitu perniagaan itu ditubuhkan dengan 100 peratus dana dan pemilikan oleh parti. PAS boleh mengumpul dana secara infak daripada ahli bagi membentuk modal perniagaan dan memulakan perniagaan. Mungkin secara syarikat sendirian berhad.

Kaedah kedua ialah dengan menubuhkan koperasi dan menjemput ahli-ahli membeli saham koperasi tersebut. Dengan cara ini ahli-ahli sebenarnya dapat memberikan infak berterusan dalam keadaan wang saham mereka tetap kekal pada jumlah yang sama.

Sebagai contoh, jika hari ini seorang ahli menyumbang sebanyak RM10 setiap bulan, maka dia akan mengeluarkan sebanyak RM120 setahun atau RM1200 selama 10 tahun untuk infak kepada parti. Dan duit itu akan habis digunakan oleh parti.

Sekarang, katalah dia memperuntukkan sebanyak RM1000 sebagai syer di koperasi yang ditubuhkan oleh PAS ini. Kemudian, katalah saham itu menjana sebanyak RM200 keuntungan setahun. Katalah daripada keuntungan sebanyak RM200 itu tadi, separuh (RM100) disumbangkan untuk PAS dan separuh lagi (RM100) diambil pelabur itu sebagai keuntungan.

Ini bermakna dalam masa 10 tahun, ahli PAS itu akan dapat menghasilkan keuntungan untuk dirinya sebanyak RM1000 dan menyumbang kepada parti sebanyak RM1000 dalam keadaan wang modal yang dikeluarkan di peringkat awal sebanyak RM1000 itu pula masih kekal miliknya. Modal itu pula akan terus menghasilkan keuntungan pada tahun-tahun berikutnya.


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 18 April 2022


Dalam konsep pelaburan ia dipanggil ‘perpetuity’, iaitu menjana keuntungan secara berterusan dengan menggunakan sesuatu modal asas. Ini berbeza dengan infak secara terus yang sumbangan itu akan terus digunakan semua sekali dan habis. Dan penyumbang perlu mengeluarkan lagi wangnya untuk menyumbang sekali lagi.

PAS sepatutnya memanfaatkan lebih satu juta ahlinya untuk menjalankan perniagaan yang akan dibeli oleh ahli-ahli ini. Sekiranya kita boleh menjual satu produk atau perkhidmatan kepada setiap ahli, dengan seorang ahli membelanjakan sebanyak RM100 sahaja setahun kita boleh menjana jualan RM100 juta setahun.

Jika dengan jualan sebanyak RM100 juta itu boleh menghasilkan keuntungan bersih sebanyak sepuluh peratus sahaja atau RM10 juta, dengan separuh disumbangkan semula kepada PAS maka PAS boleh menjana pendapatan RM5 juta setahun.

Penulis percaya mereka yang membaca tulisan ini terutamanya orang-orang lama pasti akan berkata bahawa semua orang tahu teori ini. Ia bukanlah teori baharu. Namun mungkin ada ‘sejarah’ luka yang menyebabkan teori ini sukar dilaksanakan.

Bagi penulis sesuatu peristiwa yang pernah berlaku dahulu tidak seharusnya membuatkan kita terus mengabaikan peluang yang tersedia di depan mata. Kita perlu ‘move on’ dan membina semula apa yang telah ‘runtuh’. Kita bina yang baharu dan terus memandang ke depan.

Jumlah ahli yang ramai; kedudukan PAS sebagai Kerajaan Persekutuan dan menguasai tiga negeri; dan perbelanjaan PAS yang mengalir kepada syarikat-syarikat luar sepatutnya menjadi kekuatan dan peluang yang terbentang luas untuk PAS melaksanakan projek sayap pelaburan ini. Janganlah disia-siakan…

Penulis adalah Ketua Editor Pusat Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka