Bakul Ramadhan Tanda Pengikat Kasih
Oleh Maizatul Asida
BATU, 12 April: Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan dengan memberi sumbangan berbentuk wang dan bakul barangan dapur kepada mereka baru baru ini.
Serahan sumbangan tersebut dijalankan pada setiap minggu sepanjang bulan Ramadhan ini dan lima buah keluarga yang menetap di sekitar Parlimen Batu telah menerima sumbangan tersebut semalam.
Kesemua lima buah keluarga tersebut adalah terdiri daripada golongan miskin bandar di sekitar Bandar Baru Sentul dan Taman Dato’ Senu. Sumbangan telah disampaikan melalui ziarah secara langsung ke rumah mereka.
Antara yang turut hadir dalam penyerahan sumbangan tersebut adalah Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPWP, Zurina Din dan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Mazliza Abd Rahman.