Home Berita PAS Wilayah

60 Kit Sinar Ramadhan Buat penduduk Batu

59
SHARE

60 Kit Sinar Ramadhan Buat penduduk Batu

Oleh Dhiya’ Mutmmainnah

BATU, 13 April: Lebih 60 puluh buah keluarga miskin bandar di sekitar Parlimen Batu telah menerima bantuan keperluan dapur dan kelengkapan ibadah sempena Majlis Serahan Sumbangan Kit Sinar Ramadhan anjuran Ameerah Kawasan Batu baru-baru ini.

Sumbangan berupa telekung, Al-Quran, beras, telur, serta barangan dapur yang lain telah disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Hajah Salbiah Abd Wahab di Dewan Masjid Saidina Hamzah.

Ustaz Azhar Yahya dalam ucapannya sangat merai dan mengalukan kehadiran semua penerima,

“Tuan-tuan jangan malu rasa diri fakir miskin dalam majlis hari ini. Tapi tuan-tuan memang antara yang Allah pilih untuk terima barang-barang berkat sebab mereka yang beri sumbangan ini memang mereka yang nak bagi sungguh-sungguh”, ujar beliau.

Hajah Salbiah dalam ucapan aluannya juga turut mengingatkan akan keistimewaan bulan Ramadhan,

“Dalam bulan Ramadhan ini terhimpun bermacam ibadah yang boleh dilakukan. Antaranya solat sunat terawih, membayar zakat, mengaji Al-Quran dan lain-lain. Perbanyakkanlah mengaji kerana di akhirat kelak ia akan datang sebagai pembela kita insyaAllah”, jelas beliau.

Menurut Ketua Ameerah Care Kawasan Batu, Atikah Abu Bakar pula, penganjuran Majlis Serahan Sumbangan Kit Sinar Ramadhan ini juga adalah sesuatu yang cukup bermakna kerana serahan sumbangan seumpama ini telah dilaksanakan oleh Ameerah Kawasan Batu pada setiap bulan Ramadhan bagi lima tahun berturut-turut.

“Serahan sumbangan seumpama ini telah dimulakan pada tahun 2018 dengan 30 orang penerima. Alhamdulillah sehingga ke Ramadhan tahun ini, kita masih direzekikan untuk mengajak masyarakat terlibat sama membantu golongan yang memerlukan. Tidak kira sedikit atau banyak sumbangan yang diberikan, mudah-mudahan Allah redha dengan usaha semua pihak”, tambah beliau.