Oleh IBNU JANIE
PENULIS sempat bersua dengan sosok yang bernama Kapten (B) Sudirman Ahmad, semasa Almarhum sedang membantu jentera Jabatan Penerangan PAS Melaka menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri ini pada hujung tahun 2021.
Pada masa itu Almarhum bersama dengan pasukan penerbitan video beliau berkampung Ayer Keroh bagi menjalankan proses penerbitan video-video kempen bagi calon-calon PAS yang bertanding pada masa itu.
Sebelum ini penulis hanya mendengar kisah-kisah kehebatan beliau daripada Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka, Haji Bakri Jamaluddin yang pada ketika itu adalah Ketua Penerangan PAS negeri. Haji Bakri pula mengenali Almarhum semasa menjadi pengurus di sebuah ladang milik syarikat perladangan terkenal Malaysia di satu kawasan di Indonesia.
Menurut Haji Bakri, pada suatu ketika syarikat perladangan tempat beliau bekerja itu menghadapi satu laporan negatif daripada sebuah majalah antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat. Laporan itu telah memburukkan nama baik ladang di bawah kendalian beliau.
Haji Bakri kemudiannya telah mengupah sebuah syarikat penerbitan swasta dari Malaysia bagi membuat sebuah video yang bertujuan untuk menjawab tohmahan tersebut dan menaikkan semula imej syarikatnya yang telah tercalar akibat laporan tersebut.
Almarhum Kapten (B) Sudirman telah bertindak sebagai penulis skrip. Selepas video itu dihasil dan diterbitkan ia telah berjaya mengembalikan semula imej baik syarikat yang telah tercalar sebelum itu.
Ini menjadi bukti kemampuan Almarhum dalam menulis skrip dokumentari, drama dan filem yang mampu menyentuh emosi dan mengubah pendirian seseorang, bukan sekadar pakar dalam peperangan konvensional.
Mungkin pengalaman luas beliau dalam hal ehwal politik dan sosial terbina semasa beliau bertugas sebagai seorang pegawai sulit kepada pembesar negara dan banyak terlibat dalam penyelidikan politik dan kemasyarakatan, selain pernah menjadi pegawai di Biro Tatanegara (BTN), menjadikan beliau pakar dalam soal ini.
Pengalaman penulis berurusan dengan Almarhum, aura seorang bekas pegawai tentera itu memang masih ada pada dirinya. Ketegasan beliau dan ketepatan masa sangat dititikberatkan. Memang beliau benar-benar berjiwa tentera.
Sebagai anggota tentera pula, keberanian anak kelahiran Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak ini dalam pertempuran bersenjata pula memang tidak dapat dinafikan.
Malah, nama Almarhum sendiri, Sudirman, mirip dengan nama tokoh ketenteraan Indonesia di saat kemerdekaan negara itu, Jeneral Soedirman yang menjadi lagenda kepada rakyat negara itu yang merupakan Panglima ‘Tentara Nasional Indonesia’ (TNI) yang pertama.
Sebagai pegawai tentera di era ancaman pengganas komunis, Almarhum pernah terlibat dalam beberapa siri pertempuran dengan pengganas komunis di era 70an dan 80an. Yang paling terkenal ialah Operasi Gubir 1 dan 2 yang dilakukan di sebuah perkampungan di sempadan Malaysia-Thailand.
Dalam Operasi Gubir-1 pada tahun 1974 beliau memimpin pasukannya dengan kekuatan 60 anggota telah bertempur dengan seramai 400 pengganas komunis yang berkubu di sebuah bukit di Gubir.
Cabaran yang mereka hadapi ketika itu ialah untuk memasuki kawasan ini yang telah dipasang dengan 3600 jerangkap samar. Jadi mereka terpaksa diturunkan dari udara menggunakan helikopter dan membuat serangan. Pertempuran berlangsung selama enam hari dan 11 anggota telah terkorban.
Namun jumlah pengganas yang ramai membuatkan mereka terpaksa berundur. Berundur pula tidak mudah. Mereka terpaksa berundur dengan helikopter juga kerana tidak boleh melalui kawasan yang penuh jerangkap samar.
Mereka terpaksa menggunakan sebanyak 14 penerbangan ulang alik. Semasa proses berundur, bukit tempat helikopter mereka mendarat telah dikepung pengganas menyebabkan 15 anggota tidak dapat dibawa keluar dan mereka terus bertempur sehingga tiba bantuan.
Beliau juga menolak kurniaan Pingat Gagah Berani untuk beliau kerana tegas bahawa perjuangan beliau bukan untuk pingat walau pun beliau sendiri cedera dalam pertempuran tersebut.
Lalu pemergian Almarhum pada 17 Mac, tepat jam 12 tengah malam Khamis malam Jumaat pada usia 73 tahun ditangisi oleh mereka yang mengenali Almarhum dan pernah bekerja dengan Almarhum.
Semoga akan lahir lagi insan-insan yang bakal menggantikan Almarhum selepas matinya Almarhum sebagai seorang patriot yang banyak berjasa pada rakyat dan negara. Seperti lirik lagu Derap Komando nyanyian Search “Berkat bakti darinya, seiring doa bangsanya…”
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Pusat