Home Berita PAS Pahang

Sumbangan untuk ke sekolah tanda parti berkebajikan

53
SHARE

Oleh: KHASDI KOSMIN

INDERA MAHKOTA, 24 Mac :: Sentiasa prihatin terhadap kesusahan golongan asnaf merupakan agenda parti berkebajikan termasuk di ambang musim persekolahan dibuka.

Demikian yang dijadualkan oleh PAS Semambu baru-baru ini dengan memberi sumbangan melalui program Back To School (BTS) 2022.

Tiga cawangan yang terlibat dalam program BTS adalah cawangan Semambu, Kampung Padang dan Taman LKNP hasil dari sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap program kebajikan yang menjadi program tahunan di cawangan tersebut.

Cawangan Semambu telah memberi beg sekolah kepada 47 orang penerima yang disampaikan oleh Ketua Pemuda Indera Mahkota Ustaz Zulfadhli Zakariah, yang turut dihadiri Ketua Cawangan Sukri Abu Samah bersama ahli-ahli jawatankuasanya di perkarangan kedai makan Kamal Ahmad Semambu.

Dalam program tersebut Zulfadli telah memberi kata-kata semangat kepada anak-anak penerima BTS 2022 agar sentiasa ingat kepada Allah SWT sewaktu senang ataupun susah serta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh demi kejayaan di masa hadapan.

Manakala Cawangan LKNP pula, telah membawa seramai 10 orang penerima sumbangan ke pasaraya terdekat untuk memilih pakaian sekolah bersama ahli keluarga mereka.

Turut hadir ke pasaraya tersebut adalah Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Razali Abdul Rahim, Ketua Muslimat cawangan, Hamimun Dahaman bersama ahli jawatankuasanya.

Di cawangan Kampung Padang pula seramai 9 orang penerima BTS 2022 telah menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Setiausaha PAS Cawangan Kampung Padang, Ustaz Sabri Abd Wahab di Balai Islam Kampung Padang yang dihadiri oleh Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Johari Patrick Abdullah serta ahli jawatankuasanya.

Salah seorang bapa kepada penerima bantuan Wan Azhar Wan Hasan di Kampung Padang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PAS di atas sumbangan tersebut yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka dalam penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak kembali bersekolah.